Cari lain, terjumpa mayat reput
Mayat reput ditemukan pasukan penyelamat ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh daripada bot nelayan, hari ini.
Ketua Pangkalan Cawangan Perlindungan Sumber Jabatan Perikanan Kuala Kurau Nazri Mohd Noh berkata, mayat tanpa sebarang pakaian dan identiti itu ditemukan terapung oleh sekumpulan nelayan tempatan sekitar 6 petang hari ini.
Menurutnya, khidmat pasukan Bomba dan Penyelamat digunakan bagi membantu menaikkan mayat berkenaan.
“Mayat itu terdahulu ditemukan sekumpulan nelayan yang turut sama mencari lelaki berusia 62 tahun yang dilaporkan terjatuh dari botnya pagi tadi.
“Mayat yang hampir reput itu ditemukan pada kedudukan empat batu nautika dari Pantai Ban Pecah dan berdasarkan keadaannya, kami yakin ia bukan lelaki yang dilaporkan hilang pagi tadi,” katanya ditemui media di Jeti Pengkalan Polis Marin, Kuala Kurau, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Katanya, mayat itu diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk tindakan lanjut.
Katanya, pencarian lelaki yang hilang itu masih diteruskan dan radius pencarian diperluaskan ke 10 batu nautika meliputi sempadan perairan Kuala Gula ke Pulau Pinang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Mazuki Mat dihubungi mengesahkan penemuan mayat itu dan mengesahkan mayat tanpa sebarang identiti itu bukanlah nelayan yang dilaporkan hilang hari ini.
Terdahulu seorang nelayan yang juga awak-awak bot ikan dilaporkan terjatuh dari bot yang dinaiki mangsa bersama dua lagi rakan termasuk tekong.
Difahamkan mangsa Ng Choon Lee, 62, berasal dari Tanjung Piandang, dilaporkan dalam perjalanan pulang dan terjatuh daripada botnya sekitar 11 pagi di Perairan Kuala Gula akibat cuaca buruk.
Berikutan itu satu laporan polis dibuat keluarga mangsa di Balai Polis Tanjung Piandang, tengah hari ini. – HM