Cari bapa kandung untuk wali nikah

Cari bapa kandung untuk wali nikah

 

Seorang wanita mengesan bapa kandungnya yang menghilangkan diri hampir dua tahun lalu bagi urusan dokumentasi pernikahannya pada 5 Jun depan.

Noor Afikah Mohd Rahim, 21, dari Kampung Kuala Gula, di sini, berkata bapanya yang lebih dikenali sebagai Rahim Deraman, 50, gagal dikesan sejak Disember 2020 selepas berpisah dengan ibunya.

Menurutnya, tiada khabar berita diterima mengenai bapanya sekali gus menyukarkan urusannya untuk bernikah dan melangsungkan perkahwinan dengan pasangannya.

“Hampir dua tahun masa digunakan bagi mencari bapa bagi tujuan pernikahan. Kami sudah mencari di merata tempat, tanya pihak polis, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), tapi semua hampa.

“Menurut kawannya, ayah dikatakan pergi ke Terengganu, namun tiada siapa tahu di mana dan bagaimana keadaannya,” katanya, memetik Harian Metro.

Menurutnya, dia dan pasangannya Muhamad Farhan Hafizi Razali, 21, dari Kuala Kurau akan melangsungkan pernikahan pada 5 Jun ini dan berharap bapanya dapat pulang atau ditemui dengan segera.

Katanya, orang ramai yang mengenali atau mengetahui di mana bapanya berada boleh menghubunginya di talian 01133554506.