Wanita kongsi cara simpan beras yang tak pernah dibuat orang, pelik tapi menjadi
Wanita kongsi cara simpan beras yang tak pernah dibuat orang, pelik tapi menjadi
Biasa kita dengar, menyimpan beras bersama cili kering atau bawang putih menjadi pilihan ramai kerana ia cara yang paling mudah untuk mencegah bubuk. Kadang-kala ia berkesan, kadang-kala semut pula yang menyinggah.
Ada juga menjemur beras di tengah panas terutamanya bagi mereka yang ada ruang di halaman rumah. Namun, bagi mereka yang mempunyai haiwan ternakan seperti ayam, menjemur beras di tengah panas bukan cara yang sesuai.
Itulah yang dihadapi oleh wanita ini dan akhirnya, terpacul di fikiran Nor Jannah, atau lebih mesra dipanggil Mak Long, untuk menggunakan cara yang pelik dan tak pernah dibuat orang ini.
“Untuk matikan bubuk ni, ada yang jemur beras. Macam tu pun boleh juga, tapi kan Mak Long ni ada bela ayam. Kang bersuka ria ayam Mak Long seharian kalau jemur di luar,” ujarnya.
Bagi menyelesaikan masalahnya, Mak Long meletakkan beras yang baru dibeli di dalam peti sejuk beku selama tiga hari. Ketika ditanya SK, Mak Long memaklumkan beras yang dibeli terus dimasukkan sekampit ke dalam peti sejuk beku. Ini kerana peti sejuk beku yang digunakannya bersaiz besar.
“Tetapi, jika saya guna peti sejuk biasa, saya akan ambil beras setakat mana yang saya nak simpan dan masukkan dalam plastik biasa. Kemudian, baru saya masukkan dalam sejuk beku di tingkat atas peti sejuk,” terangnya.
Selepas tiga hari, beras akan diletakkan di dalam suhu bilik untuk dikeringkan. Apabila beras sudah kering sepenuhnya, barulah Mak Long memasukkan beras ke dalam botol untuk disimpan.
“Sambil masukkan beras sambil hentak manja botol tu untuk padatkan beras,” kongsinya.
Selain menggunakan cili kering atau penyerap oksigen, wanita tersebut turut menggunakan pita pelekat bagi memastikan tiada ruang terbuka di bahagian mulut botol.
“Penyerap oksigen ada pelbagai jenis dan warna. Saya guna jenis yang berwarna biru, lebih sesuai untuk beras, kekacang, ikan bilis dan pasta. Itupun atas saranan daripada rakan dalam kumpulan Malaysia Preppers dan Urban Preppers Malaysia.
“Sebenarnya, dalam botol yang berisi beras itu, kadang-kadang saya guna cili kering. Setakat ini ketahanan keduanya juga sama, walaupun 3 tahun masih lagi elok berasnya. Alhamdulillah.
“Penutup beras itu perlu ditutup dengan ketat supaya tiada ruang udara dapat masuk. Beras perlulah padat,” jelasnya secara mendalam.
“Alhamdulillah, pengalaman saya selama tiga tahun menyimpan beras belum pernah ada bubuk dalam beras,” tambahnya.
Menjengah ke ruangan komen, terdapat beberapa petua tambahan yang Mak Long sampaikan kepada warga maya yang bertanya. Menurutnya, beras yang sudah siap dipek di dalam botol disimpan di dalam tong dan diletakkan di tempat yang gelap.
Bagi mereka yang mempunyai ruang sejuk beku yang kecil pula, Mak Long mencadangkan agar beras dimasukkan ke dalam plastik biasa. Selepas beras dikeluarkan dari ruang sejuk beku, boleh juga dijemur di tengah panas atau biarkan kering dalam suhu bilik selama satu hari. Anda boleh juga biarkan beras di dalam plastik sama ada dibuka atau tidak.
“Dua-dua cara saya pernah buat. Keduanya hasil sama. Elok juga (plastik) dibuka,” maklumnya.
Selamat mencuba.