Pakar kongsi tiga cara mudah jadi jutawan walaupun gaji kecil

Pakar kongsi tiga cara mudah jadi jutawan walaupun gaji kecil

 

Pakar kongsi tiga cara mudah jadi jutawan walaupun gaji kecil

Bermula 1 Februari tahun ini seramai 4.37 juta pekerja di Malaysia menerima gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 sebulan, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Peningkatan sebanyak RM200 dari kadar sebelumnya ini diharap dapat membantu menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Namun, adakah jumlah ini mencukupi untuk mencapai kestabilan kewangan, apatah lagi status jutawan?

Menurut pempengaruh kewangan terkenal, Adam Zubir, nilai tersebut masih dianggap kecil.

Namun dengan strategi yang betul, sesiapa sahaja boleh mencapai kebebasan kewangan dan berpotensi menjadi jutawan tidak kira cepat atau lambat sahaja.

Tiga cara jadi kaya walaupun gaji kecil

Dalam dunia kewangan, setiap individu memiliki tiga ‘currency’ utama, iaitu masa, duit dan tenaga.

Cara kita menggunakan ketiga-tiga elemen ini akan menentukan kejayaan kewangan pada masa hadapan.

Bagi golongan muda yang baru bekerja, mereka mempunyai masa dan tenaga, tetapi belum mempunyai banyak wang.

Tetapi bagi pekerja pertengahan umur pula, mereka memiliki duit dan tenaga, tetapi kurang masa.

Manakala mereka yang telah bersara mempunyai duit dan masa, tetapi kekurangan tenaga.

Jadi, bagi anda yang masih muda dan ingin mencapai status jutawan, gunakan masa sebaiknya untuk memanfaatkan kuasa compounding (penggandaan).

Berikut adalah tiga langkah yang boleh anda mulakan sekarang:

1. Urus duit dengan bijak

Jika tidak tahu mengurus duit dengan baik, memang susah untuk maju.

Gunakan teknik 3 Bank System untuk memastikan kewangan anda lebih tersusun:

50 peratus – Belanja asas: Untuk keperluan seperti sewa rumah, makanan dan bil-bil.

30 peratus – Belanja ‘dosa’ kewangan: Boleh digunakan untuk hiburan atau kehendak seperti makan di luar dan membeli gajet.

20 peratus – Simpanan dan pelaburan: Wang ini digunakan untuk ‘beranakkan’ duit melalui pelaburan yang bijak.

Dengan mengamalkan tabiat ini secara konsisten, anda akan lebih berdisiplin dalam mengurus kewangan dan tidak mudah boros.

2. Jangan hanya bergantung pada satu sumber pendapatan

Gaji RM1,700 mungkin cukup untuk keperluan asas, tetapi untuk menjadi kaya anda perlu mencari pendapatan tambahan.

Antara cara yang boleh dipertimbangkan:

a. Freelance atau kerja sampingan (menulis, pemandu e-hailing atau jualan online)

b. Pelaburan dalam perniagaan kecil

c. Belajar kemahiran baharu yang boleh menambah nilai pada diri dan meningkatkan gaji

Dengan adanya pelbagai sumber pendapatan, anda tidak hanya bergantung kepada satu aliran kewangan sahaja.

3. Gunakan simpanan untuk melabur

Ramai yang menyimpan wang tetapi tidak melaburkannya dengan bijak.

Jangan hanya letakkan wang di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Tabung Haji semata-mata, tetapi cuba pelbagaikan pelaburan anda.

Mulakan dengan sekecil RM100 setiap bulan untuk melabur dalam instrumen seperti saham, Unit Amanah dan hartanah.

Lebih awal anda melabur, lagi tinggi potensi keuntungan melalui kuasa compounding.