Tiga lokasi pelancongan di Cameron Highlands ditutup sementara
Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands menutup sementara aktiviti rekreasi dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di daerah berkenaan selama lima hari bermula 18 September lalu.
Penutupan itu berikutan ramalan cuaca dijangka ribut petir berserta hujan di daerah itu sepanjang minggu ini yang boleh mengundang kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang.
Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Arifhadi Johari Affandi berkata, aktiviti seperti pendakian di semua HSK di Cameron Highlands termasuk Taman Eko Rimba Mossy Forest dan tapak perkhemahan di Taman Eko Rimba Sungai Pauh.
“Bagi tempahan pendakian dan perkhemahan yang dilakukan dalam tempoh penutupan itu, pemohon diminta menghubungi Pejabat Hutan Daerah Cameron Highlands untuk menjadualkan semula tempahan yang dilakukan tertakluk kepada kekosongan tarikh.
“Kita sentiasa mementingkan keselamatan pengunjung dan tindakan menutup sementara HSK di Cameron Highlands, Taman Eko Rimba Mossy Forest dan Taman Eko Rimba Sungai Pauh dianggap tepat bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau menambah, Taman Eko Rimba Mossy Forest dan Taman Eko Rimba Sungai Pauh menjadi lokasi utama pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke Cameron Highlands.
Sementara itu, kenyataan Facebook Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia menyebut aktiviti operasi Titian Kanopi Taman Negara Pahang (TNP) turut ditutup sementara ekoran kerosakan akibat ditimpa pokok tumbang.
Katanya, Pejabat Penguasa TNP akan menutup sementara operasi aktiviti Titian Kanopi bermula pada 18 September sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.