Calon SPM patah peha kiri motosikal berlanggar BMW semasa cari liputan internet

Calon SPM patah peha kiri motosikal berlanggar BMW semasa cari liputan internet

Hanya kerana ingin mendapatkan capaian internet, seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Hussein, Selama cedera parah dan dimasukkan ke hospital apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Rantau Panjang – Selama pada Jumaat lalu.

Dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi itu, pelajar tersebut, Siti A’isyah Mohd Idris, 17, yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 patah peha kiri manakala tulang rahang mulutnya terpaksa dijahit.

Kemalangan berlaku ketika dia dalam perjalanan ke rumah bapa saudaranya untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) secara atas talian disebabkan sukar mendapatkan capaian internet di rumahnya.

Menurut kakak mangsa, Siti Nurzulfa, 23, adiknya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta jenis BMW dan kini masih di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping, namun keadaannya stabil.

Ujar Siti Nurzulfa, sejak sesi PdPR bermula, adiknya berulang-alik dari rumah mereka di Kampung Baru Batu 3 ke Taman Permai 2, Selama kira-kira tujuh kilometer dengan menunggang motosikal bagi mendapatkan liputan internet selain tidak mahu ketinggalan mengikut pembelajaran.

“A’isyah setiap hari terpaksa berulang alik untuk mengikuti kelas atas talian kerana dia merupakan pelajar harapan sekolah. Dia yang juga pelajar aliran sains merupakan harapan sekolah pada SPM kali ini.

“Walaupun malang tidak berbau, tetapi sekiranya capaian internet baik di kampung A’isyah tidak perlu berulang-alik ke sana,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya.

Sumber: Kosmo