Lelaki ‘kantoi’ calar kereta orang guna kunci ditahan

Lelaki ‘kantoi’ calar kereta orang guna kunci ditahan
Tindakan seorang lelaki mencalarkan dua buah kereta menggunakan kunci di sebuah apartment di Taman Pandan Mewah, di sini, membawa padah apabila perbuatannya terbongkar sebelum dia diberkas pada Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, semakan mendapati kejadian pertama berlaku pada 18 Mei lalu kira-kira jam 6 petang apabila pemilik kenderaan berkenaan meletakkan kereta di petak parkir yang disewanya dalam keadaan baik.
“Bagaimanapun, pada keesokan harinya jam 2 petang, mangsa mendapati terdapat kesan calar di bahagian kanan pintu hadapan dan belakang keretanya jenis Honda.
“Mangsa bagaimanapun tidak mengetahui individu yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, insiden kedua pula berlaku pada 22 Mei, kira-kira jam 1 pagi apabila sepupu mangsa meletakkan keretanya di lokasi sama sebelum menyedari ia turut dicalar di bahagian belakang dan kanan sekitar jam 6.40 pagi.
“Susulan kejadian itu, mangsa telah membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pejabat pengurusan apartment terbabit.
“Semakan mendapati seorang lelaki yang juga penduduk di kawasan berkenaan dipercayai mencalarkan kereta mangsa dan sepupunya dalam kedua-dua insiden itu,” katanya.
Menurutnya, suspek disyaki menggunakan anak kunci ketika mencalarkan dua kenderaan berkenaan.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian kemudiannya membawa kepada tangkapan kira-kira jam 5.35 petang pada 5 Jun.
“Suspek yang merupakan lelaki tempatan berumur 41 tahun ditahan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di pekarangan tempat letak kereta apartment berkenaan,” katanya.
Mohd Azam berkata, pihaknya turut merampas serangkai anak kunci dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.