Cabul anak sendiri, bekas Adun BN Perak kena penjara 10 bulan

Cabul anak sendiri, bekas Adun BN Perak kena penjara 10 bulan

 

Seorang bekas Adun Perak sedang menjalani hukuman penjara 10 bulan kerana mencabuli anak perempuannya di bawah umur pada 2015.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini, yang diketuai oleh hakim Hanipah Farikullah, membenarkan sebahagian daripada rayuan pihak pendakwaan untuk mengekalkan hukuman penjara atas kesalahan yang dilakukan terhadap mangsa yang berusia 12 tahun ketika itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, timbalan pendakwa raya Atiqah Abdul Karim mengesahkan keputusan prosiding awal hari ini di hadapan panel, yang turut dibicarakan oleh hakim Ahmad Nasfy Yasin dan Hashim Hazmah.

Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadap bekas wakil rakyat BN Perak itu oleh Mahkamah Sesyen dua tahun lalu.

Panel tiga hakim itu juga membatalkan denda RM5,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi terhadap tertuduh berusia 73 tahun tahun lalu.

Mengikut fakta kes, dia melakukan kesalahan itu terhadap mangsa ketika anaknya itu dimasukkan ke wad di sebuah hospital di Taiping, kira-kira jam 6 petang pada 15 April 2015. Dia sedang melawatnya ketika itu.

Selepas keluar dari hospital, gadis itu mendedahkan perkara berkenaan kepada keluarganya.

Laporan polis kemudiannya dibuat dua hari selepas kejadian.

Pada akhir perbicaraan, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM3,500 ke atas tertuduh.

Mahkamah turut memerintahkan supaya dia menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan jika gagal membayar denda.

Susulan rayuan, Mahkamah Tinggi membatalkan hukuman penjara dan menaikkan denda kepada RM5,000.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan tertuduh mengeluarkan permohonan maaf bertulis kepada mangsa serta isterinya, yang kemudiannya telah menceraikannya. Adun berkenaan akur dengan perintah ini.