ByteDance saman intern, tuntut ganti rugi RM5 juta

ByteDance saman intern, tuntut ganti rugi RM5 juta

 

ByteDance saman intern, tuntut ganti rugi RM5 juta

ByteDance, syarikat induk TikTok memfailkan saman terhadap seorang bekas intern/pelatihnya yang dituduh mensabotaj projek latihan kecerdasan buatan (AI).

Menurut laporan Business Insider yang memetik media tempatan China, ByteDance menuntut ganti rugi sebanyak 8 juta yuan (kira-kira RM5 juta) dalam saman yang difailkan di mahkamah daerah Beijing.

Individu yang dinamakan dalam tuntutan ini ialah Tian Keyu, bekas intern di bahagian teknologi ByteDance.
Tian dituduh sengaja mengubah kod yang digunakan untuk melatih model AI syarikat.

ByteDance turut menyebut kes ini dalam notis disiplin dalaman mereka baru-baru ini, menurut laporan The South China Morning Post.

Namun begitu, kenyataan dari ByteDance kepada BBC bulan lalu menyebut bahawa Tian sebenarnya tidak bekerja di makmal AI mereka, seperti yang didakwa dalam profil LinkedInnya.

Dalam profil tersebut, Tian menyatakan bahawa beliau pernah menjadi pelatih penyelidikan untuk pasukan pelaburan (VC) dan makmal AI ByteDance sejak 2021.
Tambahan pula, syarikat itu menolak laporan yang menyatakan kerosakan kepada 8,000 cip GPU khusus—komponen penting dalam pemprosesan AI—telah menyebabkan kerugian berjuta-juta dolar.

ByteDance menegaskan bahawa angka kerugian tersebut telah dibesar-besarkan.

Sebagai salah satu syarikat teknologi terbesar dunia, ByteDance mengendalikan Doubao, chatbot popular di China yang sering dibandingkan dengan ChatGPT dari OpenAI.

Isu ini melibatkan teknologi yang menjadi asas kepada operasi Doubao.

Namun, sehingga kini, Tian dan ByteDance masih belum memberikan komen lanjut mengenai kes ini.

Di tengah-tengah isu dalaman ini, ByteDance juga menghadapi cabaran besar di luar negara.

Kerajaan Amerika Syarikat telah memberikan tarikh akhir sehingga 19 Januari 2024 untuk ByteDance menjual saham TikTok kepada pembeli yang diluluskan.

Jika gagal, aplikasi tersebut mungkin terpaksa ditutup di negara itu.

TikTok sering menjadi sasaran tuduhan bahawa ia menimbulkan ancaman keselamatan negara.

Pegawai kerajaan AS mendakwa ByteDance mungkin dipaksa menyerahkan data pengguna TikTok kepada Parti Komunis China.

Walaupun terdapat tekanan, Presiden Donald Trump baru-baru ini menyatakan hasrat untuk menyelamatkan TikTok jika diberi peluang.