Bunuh warga emas nak solat Jumaat, dua suspek ditangkap kurang 4 jam

Bunuh warga emas nak solat Jumaat, dua suspek ditangkap kurang 4 jam

 

Polis berjaya menangkap dua suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan seorang lelaki warga emas di Kampung Idaman, Klang, dalam tempoh kurang empat jam, lapor Kosmo.

Menurut laporan, pembunuhan tersebut berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah hari dan pada pukul 4 petang polis menahan kedua-dua suspek lelaki berusia 33 tahun itu di sekitar daerah ini dan Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong memetik Kosmo berkata, pihaknya juga berjaya menemukan senjata jenis pisau yang digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa berusia 69 tahun.

”Berdasarkan siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengenali mangsa.

”Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau iaitu satu rekod jenayah dan dua rekod dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini, memetik Kosmo.

Tambah beliau, polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan permohonan reman terhadap kedua-dua suspek akan dilakukan esok di Mahkamah Klang.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video seorang  lelaki warga emas yang maut ditikam oleh seorang lelaki di hadapan rumahnya ketika ingin keluar untuk menunaikan solat Jumaat.

Mangsa, Mohd. Sani Abdullah, 69, dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di anggota badan.