Bunuh bekas tunang & campak mayat dalam sungai, ahli perniagaan dijatuhi hukuman mati

Bunuh bekas tunang & campak mayat dalam sungai, ahli perniagaan dijatuhi hukuman mati

 

Mahkamah Persekutuan, semalam mengekalkan hukuman mati ke atas ahli perniagaan yang membunuh bekas tunangnya sebelum membuang mayat wanita itu ke dalam sungai tujuh tahun lalu.

Hukuman mati, bunuh bekas tunang

Rayuan terakhir Yuwafee Heidi Hamdan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati ke atasnya ditolak oleh panel tiga hakim yang mendapati tiada merit dalam rayuannya.

Menurut Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim, terdapat keterangan ikut keadaan untuk membuktikan Yuwafee bersalah.

Kami mendapati sabitan ke atasnya adalah selamat dan kami mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menyabitkan perayu (Yuwafee) dan menjatuhkan hukuman mati ke atasnya.

Terdahulu, suspek iaitu Yuwafee berusia 33 tahun didapati bersalah membunuh bekas tunangnya, Normaizatul Nor Jaya berusia 22 tahun di bawah jambatan Jalan Lombong, Saujana Putra di Sungai Jenjarom Kuala Langat, Selangor pada 29 Mei 2015.

Menurut sumber, perbuatan kejam itu hanya terbongkar selepas bekas teman wanita suspek iaitu Farah Adiba Badarudin membuat laporan polis.

Berdasarkan keterangan, Farah mendakwa suspek ada menghubunginya menerusi panggilan telefon dan memberitahu bagaimana dia melemaskan mangsa dengan menutup hidung dan mulut mangsa sehingga mati.

Suspek kemudian mengaku telah membuang mayat mangsa ke dalam sungai sebelum mayatnya ditemui dua hari kemudian dalam keadaan reput. Susulan daripada penemuan itu, Yuwafee telah ditahan polis pada 9 Jun 2015.