Buktikan keabsahan sekarang jika ada sokongan majoriti, bukan September, tegas Najib
JIKA benar Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan majoriti, beliau perlu buktikan keabsahannya dengan undi percaya di Parlimen secepat mungkin, bukannya September ini, tegas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, jangkitan Covid-19 di Parlimen tidak wajar dijadikan alasan kerana penularan wabak berkenaan boleh berlaku di mana-mana bukan hanya di Parlimen.
“Dia (Muhyiddin) kata YDP Agong minta dia buktikan ada sokongan majoriti. Dia kata YDP Agong titah hanya lapan orang Ahli Parlimen Umno yang tarik sokongan terhadap dia. Ingat dia kata lapan sahaja.
“Dia kata dia percaya bahawa dia masih ada sokongan majoriti. Tapi dia berjanji pada YDP Agong akan usulkan undi percaya terhadap dia pada sesi Parlimen September. Kenapa pula bukan sekarang memandangkan kita baru masuk Ogos?
“Sebab Covid masih serang parlimen ke? Tapi saya tengok mereka yang kononnya terdedah pada Covid dalam parlimen sudah bebas ke sini dan ke sana – siap meeting tiap-tiap malam di rumah,” katanya sebagai reaksi terhadap pengumuman khas Perdana Menteri, hari ini.
Najib berkata, Muhyiddin juga menyalahkan dan menipu bahawa Ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadapnya adalah mereka yang mahu kes mahkamah digugurkan.
“Sedangkan cara terbaik untuk gugurkan ialah dengan ‘membodek’ dan bukan melawan dia.
“Boleh tanya Xavier (Ahli Parlimen Kuala Langat, Dr Xavier Jayakumar), Menteri kanan tak HD (Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) , Tok Pa (Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed) dan lain-lain,” katanya.
Muhyiddin dalam pengumuman khasnya hari ini memaklumkan beliau masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri pada masa ini.
Beliau berkata, suatu usul undi percaya kepada dirinya sebagai Perdana Menteri akan dibentangkan ketika Dewan Rakyat bersidang pada September.
Menurutnya, kemelut politik yang melanda negara sengaja dicetuskan oleh pihak tertentu yang kurang senang dengan ketegasan beliau tidak melayan beberapa tuntutan termasuk mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
Sumber: Malaysiapost