Bukan terpengaruh movie, remaja menyamar jadi petugas hospital sekadar untuk suka-suka

Bukan terpengaruh movie, remaja menyamar jadi petugas hospital sekadar untuk suka-suka

 

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan kisah seorang remaja perempuan yang telah menyamar menjadi petugas hospital di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang.

Lebih mengejutkan, penyamaran remaja itu difahamkan hanya kantoi dengan pihak hospital selepas seminggu melakukan penyamaran tersebut.

Remaja itu kemudiannya telah ditahan reman oleh pihak polis selama dua hari namun pada Sabtu, dia telah dibebaskan dengan jaminan polis, lapor Sinar Harian.

Menurut Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof iaitu Ketua Polis Daerah Sepang, berbeza dengan andaian orang ramai, remaja yang berusia 14 tahun itu telah mengaku bahawa dia melakukan penyamaran tersebut sekadar suka-suka dan bukannya kerana terpengaruh dengan mana-mana rancangan TV atau filem.

Menurut siasatan pihak polis juga, remaja itu mengaku melakukan perkara tersebut di hospital itu kerana mahu mengetahui jika dia diberi perkhidmatan rawatan lebih cepat jika menyamar menjadi petugas hospital.

Kes penyamaran oleh remaja perempuan ini disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan 170 Kanun Keseksaan iaitu menceroboh dan menyamar sebagai penjawat awam.

Difahamkan juga, dalam masa terdekat ini, remaja tersebut juga akan dirujuk ke hospital pakar untuk pemeriksaan psikiatri kerana menurut pihak polis, siasatan awal mendapati remaja itu bertindak sedemikian akibat fikiran terganggu, lapor Sinar Harian.