Bukan tanah rizab Melayu, ia milik PKNP

Bukan tanah rizab Melayu, ia milik PKNP

 

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menjelaskan tanah diduduki peneroka yang membina rumah dan mengusahakan tanaman sawit di Kampung Parit 2, Air Deras Sungai Tukang Sidin dekat Teluk Intan bukan tanah rizab Melayu.

Beliau berkata, tanah seluas 25.6 hektar itu adalah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) yang kemudiannya dijual kepada sebuah syarikat pada 2015.

“Tarikh perjanjian jual beli Mac 2015 (sebelum) menjadi hak milik sebuah syarikat swasta pada November 2016.

“Ia bukan tanah rizab Melayu, bukan tanah orang ramai dan ia tanah PKNP yang sudah dijual kepada syarikat terbabit,” katanya selepas Program Bersama SEBEKAS (Bekas Tentera) Parlimen Tapah di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai isu dakwaan seorang penduduk di Kampung Parit 2, Air Deras Sungai Tukang Sidin di Teluk Intan yang rumahnya dirobohkan baru-baru ini.

Mengulas lanjut Saarani berkata, tiada pampasan boleh diberikan membabitkan penerokaan tanah secara tidak sah jika tindakan penguatkuasaan dilakukan terhadap pendudukan tanah itu.

“Tidak ada ganti rugi kepada segala-galanya itu (kerugian ditanggung peneroka). Sesiapa saja yang bercucuk tanam guna tanah kerajaan tanpa kebenaran ia ada risiko untuk menanggung kerugian apabila kerajaan nak balik atau pemilik tanah mahu balik (tanah) dia terpaksa pergi.

“Saya selalu nasihat orang yang suka bina rumah tepi jalan raya, itu tanah rizab, bila kerajaan nak lebar jalan terpaksa suruh keluar dan dia minta pampasan kita tidak boleh bayar.

“Kerajaan akan bayar kalau itu tanah dia dan dibuktikan (hak pemilikan tanah),” katanya.

Saarani berkata, rakyat negeri ini juga tidak boleh sewenang-wenangnya meneroka tanah kerajaan negeri dan perlu memohon terlebih dahulu untuk melalui proses ditetapkan sebelum mendapat kelulusan untuk mengusahakan tanah berkenaan.

“Sesiapapun rakyat negeri Perak, kalau nak duduk atas tanah mana-mana pun pertamanya perlu kenal pasti pemilik tanah berkenaan, siapa punya, kalau tiada siapa maksudnya tanah milik kerajaan negeri.

“Tetapi kita tak boleh sewenangnya masuk tanah kerajaan, kena mohon di pejabat tanah dan perlu melalui proses biasa,” katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan rumah seorang bekas tentera di Kampung Parit 2, Air Deras Sungai Tukang Sidin, Langkap terpaksa dirobohkan selepas tanah berkenaan dijual kepada sebuah syarikat.

Rumah itu diduduki individu terbabit selama 20 tahun di tanah yang diteroka bersama beberapa penduduk kampung lain dengan tanaman sawit.