Bukan pecat, sebaliknya ganti Tajuddin – Saarani
Tiada istilah pemecatan terhadap Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman selepas UMNO mengumumkan pelantikan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah Pilihan Raya baharu menggantikannya.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata perkara itu adalah amalan biasa bagi sesebuah organisasi.
Katanya lagi, seseorang ketua akan cuba mempelbagaikan kebolehan anggota organisasinya sebagaimana amalan pertukaran portfolio anggota Kabinet di peringkat kerajaan Persekutuan mahupun Exco di peringkat kerajaan negeri.
“Tak ada timbul isu (Tajuddin) dipecat dan saya pun tak fikir bahawa Presiden UMNO akan memecat (Tajuddin). Sebaliknya beliau memberi tanggungjawab yang lebih kepada Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
“Pada saya itu adalah tugas biasa yang dilakukan oleh mana-mana organisasi.
“Dalam masa itu pun Datuk Seri Presiden UMNO juga telah memberikan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Tajuddin atas khidmat bakti yang telah ditunjukkan sebelum ini.
“Jadi saya ingat jangan guna istilah pemecatan. Itu tak betul,” katanya menerusi sidang media secara maya dekat sini pada Rabu.
Semalam media melaporkan Mohamad dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya UMNO berkuat kuasa serta-merta, menggantikan Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, penstrukturan semula Jabatan Pilihan Raya UMNO itu bagi memperkukuh organisasi di setiap peringkat parti dan akar umbi.
Sumber: Astro Awani