Budak terima dua jahitan di kepala elak dikejar anjing liar

Budak terima dua jahitan di kepala elak dikejar anjing liar

Kanak-kanak lelaki menerima dua jahitan di kepala selepas terjatuh dari motosikal yang diboncengnya akibat dikejar anjing ketika pulang dari surau kawasan perumahannya di Taman Yakin Mesra, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.10 pagi itu, Mohd Putra Afiq Sazri, 12, turut mengalami calar di belakang badan akibat terjatuh sejurus motosikal ditunggang rakannya memecut sebelum melanggar bonggol jalan.

Bapa mangsa, Sazri Abdullah, 41, berkata, kejadian berlaku ketika anak dan rakannya itu dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat Subuh di surau sebelum dikejar anjing milik jiran.

“Pagi itu, saya turut ke surau namun pulang lebih awal. Anak saya pula mahu pulang bersama rakannya.

“Namun insiden itu menyebabkan hanya anak saya terjatuh dari motosikal sejurus ia melanggar bonggol jalan.

“Bagaimanapun saya bersyukur kerana kecederaan yang dialami anak saya tidak sampai mengakibatkan kecederaan dalaman hingga menjejaskan bahagian tempurung kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia berkata, Mohd Putra Afiq dirawat di Hospital Sungai Siput dan laporan polis berhubung kejadian dibuat di Balai Polis Sungai Siput selain aduan kepada Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK).

Katanya, kejadian penduduk taman dikejar anjing sudah banyak kali berlaku.

“Saya dapati banyak anjing dibela secara lepas hingga mendatangkan kegusaran. Banyak aduan berhubungnya sudah dikemukakan sebelum ini namun setakat kepada ketua (pengerusi) taman (Rukun Tetangga) saja,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKK, Zulqarnain Mohamad ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya menangkap anjing itu pada hari kejadian.

Katanya, keterangan diambil daripada seorang lelaki yang mengakui sering memberi makan anjing itu dan mendapati dia tiada lesen memelihara haiwan itu.

“Anjing terbabit dikurung sementara sebelum dilepaskan ke tapak pelupusan sampah memandangkan ia tidak dituntut oleh sesiapa.

“Anjing berkenaan tidak dirujuk ke Jabatan Perkhidmatan Veterinar memandangkan ia hanya mengejar mangsa tanpa menggigit (mencederakan) orang ramai,” katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/652654/dua-jahitan-di-kepala-jatuh-motosikal-dikejar-anjing