Budak perempuan hilang di Johor ditemui selamat, ‘disorok’ penculik dalam hotel murah di Batang Kali

Budak perempuan hilang di Johor ditemui selamat, ‘disorok’ penculik dalam hotel murah di Batang Kali

 

Kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Albertine Leo Jia Hui yang dilaporkan hilang ketika Festival Bon Odori di Iskandar Puteri, Johor Sabtu lalu, ditemui selamat di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor.

Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Johor Komisioner M. Kumar berkata mangsa berada dalam keadaan selamat dan kini berada di sebuah hospital bagi pemeriksaan kesihatan.

Menurut beliau, mangsa ditemui dengan seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun sekitar jam 4.45 pagi Selasa.

Katanya lagi, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan tiada perubahan fizikal seperti dakwaan rambutnya sudah dipotong.

Dalam pada itu, dua lagi individu ditahan menjadikan keseluruhan lima suspek kini berada dalam tahanan berhubung kes penculikan ini.

“Empat suspek sudah direman empat hari, manakala seorang lagi yang ditahan bersama mangsa akan dibawa pulang ke Johor untuk mendapatkan perintah tahanan reman,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Mengulas lanjut, Kumar berkata motif penculikan masih dalam siasatan, selain tiada sebarang wang pampasan dituntut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.