Budak lelaki menangis kerana tak mahu berlumba, tapi akhirnya tetap menang juga
Kanak-kanak memang ada banyak telatah dan ragamnya. Kadang-kadang tu ibu bapa pun pening nak layan sebab dorang ni ada je akalnya.
Seperti seorang kanak-kanak lelaki di Thailand ini apabila dia menangis sekuat hati kepada seorang wanita dipercayai ibunya gara-gara tidak mahu menyertai pertandingan larian.
Gelagat kanak-kanak itu telah dikongsikan oleh akaun Facebook อบต. วังอ่าง.
Dalam video yang berdurasi selama 32 saat itu, kanak-kanak yang memakai baju oren itu sepatutnya menyertai acara larian itu dengan seorang lagi budak lelaki.
Namun, kanak-kanak itu menangis dan memeluk seorang wanita yang dipercayai ibunya dan enggan melepaskannya.
Namun, wanita itu terus berlari meninggalkan kanak-kanak itu apabila wisel dibunyikan yang menandakan acara larian telah bermula.
Dapat dilihat dalam video tersebut, kanak-kanak itu juga turut berlari kerana mahu mengejar ibunya. Jadi, tanpa dia sedari, dia sebenarnya telah menyertai acara larian tersebut.
Yang kelakarnya, kanak-kanak lelaki itu juga telah memenangi acara itu kerana dia berlari dengan laju untuk mengejar ibunya.
Rata-rata warganet terhibur dengan gelagat kanak-kanak itu kerana dia akhirnya tetap menyertai acara larian tersebut meskipun tidak disedarinya.