Budak jatuh sungai, MBI arah permainan bermotor Amusement Park Kinta Riverwalk henti operasi

Budak jatuh sungai, MBI arah permainan bermotor Amusement Park Kinta Riverwalk henti operasi

 

MAJLIS Bandaraya Ipoh (MBI) telah mengeluarkan arahan penutupan sementara operasi permainan bermotor di Amusement Park, Kinta Riverwalk di Ipoh, Perak bagi menjalankan siasatan susulan insiden seorang kanak-kanak terjatuh ke dalam sungai, malam Ahad.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kini siasatan sedang dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan kanak-kanak itu yang berjaya diselamatkan hasil tindakan pantas ibu bapanya dan bantuan orang ramai.

“Pihak MBI telah mengeluarkan arahan penutupan operasi permainan kanak-kanak itu mulai hari ini (Isnin) bagi menjalankan siasatan berkaitan isu kereta mainan bermotor kanak-kanak di Kinta Riverwalk tersebut,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, MBI telah melantik syarikat berkaitan bagi menjalankan aktiviti permainan kanak-kanak di Kinta Riverwalk itu mulai 1 Januari tahun ini dengan menetapkan garis panduan keselamatan untuk beroperasi.

Pada Ahad, tular video berdurasi 29 saat menunjukkan kenderaan mainan dinaiki seorang kanak-kanak telah terjatuh ke dalam sungai, sebelum diselamatkan oleh ibu bapa mangsa dan orang ramai yang berada di tempat kejadian daripada dihanyutkan arus sungai.

Turut kelihatan dalam video itu, kehadiran ambulans yang memberikan rawatan kepada mangsa dan mereka yang cedera.