Budak 8 tahun ditemui dalam keadaan bogel, tidak bermaya dikurung dalam tandas, bapa dan teman wanita ditahan

Budak 8 tahun ditemui dalam keadaan bogel, tidak bermaya dikurung dalam tandas, bapa dan teman wanita ditahan

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun ditemui dalam keadaan berbogel, tidak bermaya dan dikurung dalam tandas di rumah keluarganya di Flat Taman Pulai Jaya, Pulai, Jumaat lalu.

Mangsa yang dipercayai didera itu ditemui oleh jirannya yang kebetulan datang untuk menumpang barang basah di peti ais rumah keluarga mangsa, pada Khamis.

Jiran yang prihatin itu kemudian memaklumkan perkara itu kepada jiran lain, lalu dirujuk ke sebuah pertubuhan bukan kerana yang kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Dengan kerjasama pihak berkuasa, mangsa berjaya diselamatkan dan pemeriksaan awal mendapati ada kesan luka dan parut lama di badannya. Selain itu, tapak kakinya juga berair menyebabkan kanak-kanak itu sukar bergerak.

Semasa serbuan dilakukan, seorang wanita berusia 39 tahun dipercayai teman wanita kepada bapa mangsa, dan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun (anaknya) berada di kediaman tersebut. Bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu van kilang bagaimanapun tiada di rumah.

Menurut mangsa, dia telah didera lebih daripada enam bulan. Perkara itu disahkan oleh jiran mangsa, Batma, yang mendakwa selalu mendengar jeritan kanak-kanak berkenaan.

Tambah mangsa, dia kerap dikurung dalam tandas dan dihukum kerana nakal dan selalu keluar rumah. Lebih teruk lagi, mangsa tidak dihantar ke sekolah.

Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ibu mangsa juga dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa mangsa. Sebaik saja dikongsikan gambar mangsa yang terkini, wanita itu terkejut melihat keadaan anaknya jauh berbeza. Sebelum ini, mangsa dikatakan agak berisi. Tetapi berat badannya kini hanya tinggal 29 kilogram.

Wanita itu memaklumkan, bekas suaminya membawa anak tunggal mereka keluar kira-kira dua tahun lalu sebelum gagal menghubunginya.

Susulan kejadian itu, bapa mangsa berusia 37 tahun bersama dengan teman wanitanya ditahan reman sehingga 18 Oktober untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.