Budak 6 tahun ditemui maut dalam mesin basuh, rupanya ini punca kematian

Budak 6 tahun ditemui maut dalam mesin basuh, rupanya ini punca kematian

 

Seorang nenek berdepan dengan detik cemas apabila menemui jasad cucunya yang sudah tidak lagi bernyawa di dalam mesin basuh.

Mengejutkan, kejadian menyayat hati itu berlaku di sebuah rumah di Kampung Sungai Tapah Tambahan yang terletak di Ipoh, Perak pada pagi semalam (Isnin).

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, laporan mengenai kematian kanak-kanak berusia enam tahun itu diterima pada jam 11.44 pagi.

Laporan dibuat oleh pihak Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) selepas kanak-kanak lelaki itu dibawa dari rumahnya di Kampung Sungai Tapah Tambahan, Manjoi.

Menurut Yahaya, pihaknya menerusi siasatan awal mendapati kanak-kanak terbabit ada bersama dengan ahli keluarganya yang lain di dalam rumah berkenaan.

Kanak-kanak malang tersebut kemudian ditemukan berada di dalam mesin basuh rumahnya oleh neneknya sendiri kira-kira pada pukul 9.30 pagi, lapor Berita Harian.

“Mangsa dijumpai oleh neneknya dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam mesin basuh pakaian. Mangsa kemudian dihantar ke hospital oleh ambulans.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kanak-kanak yang merupakan orang kurang upaya (OKU) autisme itu, dipercayai memanjat mesin basuh berkenaan ketika semua orang di dalam rumah sedang tidur dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi Isnin.

“Mesin basuh tersebut jenis muatan atas dan ketika kanak-kanak itu ditemukan mesin sudah berhenti beroperasi.

“Kami percaya kanak-kanak itu memanjat mesin basuh dan terjatuh ke dalamnya,” katanya dalam kenyataan.

Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan di bahagian kepala akibat objek tumpul.

Sementara itu, Yahaya berkata kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a), Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

Menurutnya jenazah kanak-kanak itu telah dikebumikan di Johor pada Selasa.