Buat laporan palsu untuk elak didenda, tuntutan insurans

Buat laporan palsu untuk elak didenda, tuntutan insurans

Mengelak dikenakan denda atas kecuaian diri sendiri mahupun untuk urusan tuntutan insurans adalah antara alasan yang kerap digunakan individu sehingga sanggup membuat laporan polis palsu.

Bagaimanapun, tindakan tidak bertanggungjawab itu mengundang padah apabila kebanyakannya gagal dan berjaya disabitkan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sejak awal tahun ini sehingga semalam, sebanyak 39 kes disiasat bersabit memberi maklumat palsu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Katanya, daripada jumlah itu, 24 kes telah dituduh di mahkamah manakala 11 lagi masih dalam siasatan dan empat kes pula Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

“Kebanyakan pelapor ini membuat laporan palsu atas dasar kepentingan diri sendiri termasuk bagi mengelak dikenakan denda atau bayaran terhadap kecuaian diri sendiri dan untuk mendapatkan ganti rugi insurans.

“Sikap tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menyebabkan berlakunya pembaziran masa dan tenaga warga Kontinjen Perak malah menyebabkan pembaziran wang kerajaan sepanjang proses siasatan dijalankan terhadap perkara yang tidak wujud,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, laporan palsu yang dibuat itu juga secara tidak langsung mengakibatkan berlakunya peningkatan statistik jenayah indeks di Kontinjen Perak seperti mana dilaporkan dalam Mesyuarat Pencegahan Jenayah pada 22 Disember lalu.

Katanya, pihak polis tidak akan berkompromi terhadap pesalah yang didapati melakukan kesalahan itu yang boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak sesekali membuat laporan palsu bagi kepentingan diri sendiri untuk mengelirukan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan yang adil dan telus terhadap masyarakat,” katanya.

Sumber: https://www.kosmo.com.my/2020/12/29/elak-didenda-tuntutan-insurans-alasan-laporan-palsu/