Bos Gaurus digigit Penyu

Bos Gaurus digigit Penyu

Terengganu meneruskan kecemerlangan dalam Liga Super apabila menumpaskan Perak FC 2-0 di Stadium Perak di sini sebentar tadi.

Jaringan Muhammad Faizsal Abdul Halim dan Dechi Marcel Nguessen membolehkan anak-anak buah Nafuzi Zain merakam kemenangan ketiga berturut-turut musim ini.

Pasukan pelawat berhak menang kerana mempamer permainan kemas dan teratur serta memiliki penyudah lebih baik.

Terengganu mendapat dua peluang untuk menjaringkan gom di awal tiga minit pertama melalui Jordan Mintah tetapi pemain itu gagal menemui sasaran.

Terengganu terus mengasak dan dengan kelincahan Mohd. Faisal Abdul Halim mengenakan tekanan kepada benteng Bos Gaurus.

Kelincahan Faisal ternyata menjadi duri dalam daging apabila berjaya melepasi kawalan dan hadangan pemain pertahanan lawan untuk mencipta beberapa peluang gol.

Skuad Penyu mengawal perlawanan dan pintu gol Perak akhirnya bolos apabila Faizal meledak gol Terengganu pada minit ke-24.

Perak cuba bangkit selepas itu tetapi beberapa peluang diperoleh gagal disudahkan oleh Guilherme De Paula, Raianderson Da Costa dan Farhan Roslan.

Corak permainan pada babak kedua berubah dengan Perak bangkit mengasak menyebabkan Terengganu terpaksa berkampung di kawasan sendiri.

Bagaimanapun segala usaha Perak gagal membuahkan hasil sebaliknya Terengganu menambah derita pasukan tuan rumah melalui jaringan cantik dari jarak jauh Nguessen pada minit ke-91. – Utusan