“Boleh saya cium anak buah saya?” – Ali Puteh selesai bayar hutang Hidayah RM75K, sebak dapat jumpa Hamzah selepas 4 tahun

Pelawak Ali Puteh memaklumkan bahawa dia telah melangsaikan hutang terhadap bekas kakak iparnya, Siti Nurhidayah Mohd Ali sebanyak RM75,486. 48.
Ali berkongsi perkara tersebut menerusi sesi siaran langsung akaun TikToknya yang memaparkan dirinya hadir ke rumah Hidayah beserta surat peguam.
Semasa sesi pembayaran dilakukan, Ali turut memberi surat akuan kepada Hidayah untuk tidak lagi mendakwa dirinya berkenaan hutang dan tidak memberi sebarang kenyataan selepas ini.
“Saya Encik Syed Ali bin Syed Muhammad Rizuan menyerahkan wang tunai sedemikian RM75,486.48 kepada Puan Siti Nurhidayah.
“Dengan ini, saya berharap selesainya urusan ini tiada lagi dakwa-dakwi tentang urusan hutang ini. Oleh itu, saya juga berharap pihak Puan dan keluarga tidak lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh mengaibkan saya dan keluarga atau memburuk-burukkan keadaan berkenaan keluarga saya di mana-mana platform media atau sebarang unsur video yang boleh mengaibkan saya.
“Akhir sekali, saya berharap pihak Puan Hidayah dan keluarga memberi kerjasama dengan baik berkenaan urusan ini dan sekiranya selepas ini isu ini berbangkit semula pihak kami tak teragak-agak untuk mengambil tindakan,” ujar Ali.
Pada pertemuan petang Selasa itu, Ali berkesempatan berjumpa anak saudaranya Syed Uthman Hamzah selepas empat tahun berhadapan konflik.
“Ni saya ada bawa anak-anak saya , semua ada dalam kereta. Kalau boleh nak jumpa sepupu mereka, Hamzah.”
“Dia dah bangun, kalau boleh nak jumpa, takkanlah nak jumpa anak buah pun kena peguam.”
Pelawak tersebut dilihat memperkenalkan anak-anaknya kepada Hamzah sebelum meminta izin untuk memeluk dan mencium Hamzah.
Ali dengan suara sebak berkata, inilah kali pertama dia berjumpa Hamzah setelah sekian lama berpisah. Dia juga sempat memberikan sampul berisi wang sebagai wang saku kepada anak saudaranya itu.
“Salam Pak Ngah. Salam ni kakak, ni adik. Hamzah, Pak Ngah tak ada apa nak bagi. Ini duit belanja Hamzah.”
“Boleh saya cium anak buah saya? Empat tahun saya tak pernah tengok dia, ini kali pertama. Boleh saya cium dia ye? Dah empat tahun saya tidak berjumpa dia.”
Dengan ini, maka berakhirnya kisah hutang piutang di antara Ali dengan Hidayah, diharapkan kisah ini akan menjadi teladan buat semua.
Sama-sama kita doakan agar segala urusan Ali Puteh dan Hidayah akan dipermudahkan selepas ini.