Boleh ke ibu bapa guna duit raya anak, apa hukumnya? Ini jawapan Ustaz Azhar Idrus

Boleh ke ibu bapa guna duit raya anak, apa hukumnya? Ini jawapan Ustaz Azhar Idrus

 

Isu penggunaan duit raya diperoleh anak-anak yang masih kecil sering menjadi topik perbincangan hangat terutamanya di kalangan ibu bapa.

Kutipan duit raya mencecah ratusan hingga ribuan ringgit ini boleh membuatkan ibu bapa menjadi alpa sampai ‘terguna’ wang yang telah diamanahkan kepada mereka.

Malah, ada juga ibu bapa yang merasa berhak ke atas duit raya ini berikutan mereka telah mengeluarkan belanja besar untuk menanggung dan membesarkan anak-anak.

Namun tahukah anda, duit raya milik anak-anak sebenarnya tidak boleh digunakan oleh ibu bapa sesuka hati walaupun untuk perbelanjaan harian rumah atau keluarga.

Berdasarkan penjelasan daripada pendakwah bebas terkenal iaitu Ustaz Azhar Idrus, ‘amalan’ menggunakan duit raya milik anak adalah satu perbuatan yang berdosa.

Selain hukumnya adalah haram, ibu bapa juga wajib menggantikan semula duit raya sekiranya ia digunakan untuk urusan kecemasan yang memudaratkan anak-anak.

Tular di media sosial, penjelasan yang dibuat Ustaz Azhar dalam satu sesi ceramah ini sempat dirakam sebelum dimuat naik pengguna TikTok di platform media sosial tersebut.

“Tak boleh guna (duit raya anak) kecuali dipinjam sementara waktu ketika terdesak sahaja. Contohnya ketika bekalan elektrik dipotong kerana bil tidak dibayar ekoran ibu bala kehabisan wang.

“Oleh kerana gelap (situasi ketiadaan elektrik) ini mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak, maka boleh dipinjam sekejap untuk membayar bil. Namun duit ini wajib dibayar semula,” katanya.

@dianayuchairuddin

Hukum guna duit raya anak #dianayuexclusive #ceramahustazazharidrus #ustazazharidrus #raya2023

♬ original sound – Dian Ayu Exclusive – Dian Ayu Chairuddin.

Maka jelaslah bahawa ibu bapa langsung tidak memiliki hak ke atas duit raya yang diberikan orang ramai kepada anak mereka walaupun di dalam keadaan terdesak.

Wang tersebut hanya boleh dipinjam di dalam keadaan yang memudaratkan anak-anak dan ‘wajib’ ke atas ibu bapa untuk mengganti semula wang digunakan mereka.

Diharapkan dengan penjelasan Ustaz Azhar ini, ibu bapa bolehlah menunaikan amanah mereka dengan lebih baik dan tidak menggunakan wang anak dengan sesuka hati.