“Boleh abah ikut?” – Bapa sering tawar diri mahu ikut setiap kali anak keluar undang sebak ramai
“Din nak pergi mana? Abah nak ikut. Boleh abah ikut?”
Itu pertanyaan yang sering diungkapkan oleh sosok seorang bapa setiap kali anaknya keluar rumah.
Menerusi perkongsian Sir Zahir di TikTok, dia memuat naik momen sewaktu bapanya bertanya ke mana anaknya mahu pergi selain turut meminta untuk dibawa bersama.
“Ada masa kalau abah nak ikut saya bagi, ada masa tak, ikut kesesuaian masa. Contohnya, masa nak pergi kerja, dia ajak beli kuih, saya akan kata ‘maaf abah tak sempat dah ni, kejap lagi dah selesai kerja, kita bawa abah,” katanya.
Menurut lelaki itu, setiap kali pulang dari kerja, bapanya pasti akan menunggu di luar rumah sambil duduk di atas kerusi roda untuk diajak keluar berjalan-jalan.
Katanya, jika tidak kemana, cukup sekadar membawa bapanya meluangkan masa bersiar-siar di dalam kereta sambil melihat suasana sekitar.
“Abah nak ikut setiap kali keluar rumah, walaupun duduk dalam kereta sahaja,” katanya.
Dalam masa sama, lelaki tersebut turut berkongsi pengalamannya sewaktu kecil apabila sering mengikuti bapanya ke mana sahaja.
“Kita dulu waktu kecil-kecil macam ni lah. Nak ikut je. Ok bah ikutlah jom. Sementara student (pelajar) cuti sem ni, luangkan masa sikit jaga abah dan siapkan penulisan yang lama tertangguh,” kongsinya.
Sementara itu, perkongsian Sir Zahir turut mendapat perhatian pengguna yang lain dan kisahnya juga tular di media sosial apabila meraih lebih 1.2 juta tontonan.
Di ruangan komen, ada juga yang berkongsi situasi hampir sama apabila orang tua mereka sering mengajak keluar berjalan dengan alasan bosan berada di rumah.
“Sama macam ibu saya, tak padan dengan usia hampir 65 tahun, setiap hari ada sahaja aktivitinya. Katanya bosan duduk di rumah, bila saya balik kerja selalu minta bawakan pusing-pusing pekan naik kereta. Ada masa penat, tak terbawa juga,” kata Haneesah.