“Gaza akan kembali aman, untuk apa mahu boikot lagi Starbucks?” – Vincent Tan

“Gaza akan kembali aman, untuk apa mahu boikot lagi Starbucks?” – Vincent Tan
Pada minggu lalu taikun bisnes, Tan Sri Vincent Tan yang juga pengasas Berjaya Group menyatakan jualan Starbucks Malaysia semakin meningkat, serta masalah boikot di cawangan semakin berkurangan.
Dalam perkembangan terbaharu, beliau merasakan Starbucks Malaysia bakal kembali ‘bersinar’ semula, petik MalaysiaGazette.
Ini kerana pengumuman gencatan senjata di Gaza yang bakal berkuat kuasa pada hari Ahad ini. Oleh itu tidak ada keperluan lagi untuk memboikot jenama Starbucks, apatah lagi ia adalah syarikat milik negara ini.
“Sekarang sudah ada berita genjatan senjata di Gaza, ini memang satu berita bagus buat semua. Gaza akan aman kembali, itu yang kita semua mahu.
“Jadi untuk apa mahu boikot lagi Starbucks? Tidak ada keperluan lagi.
“Genjatan senjata ini memang satu berita yang baik,” kata beliau kepada pengamal media selepas majlis serah sumbangan kepada majlis sumbangan sempena Tahun Baru Cina kepada penduduk setempat warga TiongHua, sekolah dan warga emas di SJK(C) Hwa Lien di sini hari ini.
Memetik laporan itu lagi, Vincent Tan menyatakan tidak mempunyai kebimbangan dengan perkembangan pelbagai jenama kopi di dalam negara.
Beliau amat positif kerana persaingan dalam perniagaan bagi memastikan mutu serta kualitinya sentiasa terjamin pada setiap masa.
“Ingat ya, apa jua perniagaan pastinya ada banyak persaingan. Pada saya, ia positif dan tidak banyak yang perlu saya risaukan.
“Kita juga ada beberapa strategi bagi memastikan jenama ini terus menjadi pilihan utama tetapi pastinya ini ‘rahsia’, tidak boleh kita dedah begitu sahaja.
“Ini strategi sulit kita, tidak boleh diumumkan secara terbuka,” jelas beliau.
Terdahulu, Vincent Tan menyatakan Starbucks Malaysia akan menumpukan kepada usaha menyatukan perniagaannya. Seterusnya mengalu-alukan pelanggan kembali ke premisnya.