“Boikot jangan sampai membabi buta, rekod muka orang macam dah jatuh haram pula makan”

“Boikot jangan sampai membabi buta, rekod muka orang macam dah jatuh haram pula makan”

 

Kempen boikot adalah tindakan kolektif yang diambil oleh pengguna untuk menghentikan pembelian atau penggunaan produk atau perkhidmatan dari syarikat tertentu sebagai bentuk protes.

Kesan kepada pihak yang diboikot boleh merangkumi penurunan pendapatan, reputasi negatif dan tekanan untuk membuat perubahan.

11 April lalu, tular video di platform X menunjukkan premis restoran makanan segera di Centre Point, Kota Kinabalu, dipenuhi dengan pelanggan. Video tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi di kalangan netizen.

Ada yang berpendapat kebanyakan pengguna hanya memboikot seketika sahaja atau hangat-hangat tahi ayam.

Sedangkan pengguna seharusnya berterusan memboikot restoran yang dikaitkan dengan Israel dan beralih kepada restoran makanan segera tempatan.

Namun, ada yang berpendapat tindakan individu yang merakam video tersebut adalah tidak wajar. Apatah lagi perbuatan merakam wajah orang awam tanpa kebenaran adalah perbuatan yang tidak beretika.

Selain itu, ada juga menegaskan boikot tidak seharusnya dilakukan secara membabi buta.

Sebaliknya perlu memahami ada sesetengah orang yang mungkin memerlukan makanan dari restoran tersebut, terutama semasa musim perayaan apabila kebanyakan kedai lain ditutup.

Dalam masa sama, ramai orang Melayu bekerja di restoran tersebut dan tindakan boikot mungkin akan memberi kesan kepada mereka.

Ada juga netizen berpendapat, jika seseorang memilih untuk tidak memboikot dan membeli makanan dari restoran tersebut, orang lain tidak seharusnya mempertikaikan tindakan mereka.

Ini kerana setiap individu mempunyai hak untuk membeli apa yang mereka mahu dengan duit mereka sendiri.

Pada November tahun lalu, Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor telah mengingatkan rakyat di negara ini untuk tidak memboikot McDonaldā€™s Malaysia kerana pihak pengurusan syarikat itu telah menegaskan bahawa mereka tidak memberi sebarang sumbangan kepada Israel.