Akibat boikot berterusan, Berjaya Food dijangka catat kerugian lebih besar

Akibat boikot berterusan, Berjaya Food dijangka catat kerugian lebih besar
Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan Berjaya Food Bhd bagi tahun kewangan 2025 berakhir 30 Jun 2025 dengan kerugian lebih besar sebanyak RM95 juta berbanding unjuran awal kerugian RM65 juta kesan boikot yang masih belum berakhir.
Menurut Berita Harian, penganalisisnya Jade Tam berkata kerugian teras bersih Berjaya Food pada suku kedua tahun kewangan 2025 adalah sebanyak RM31 juta, menjadikan kerugian teras bersih separuh pertama tahun kewangan 2025 kepada RM65 juta, berbanding anggaran kerugian bersih bank pelaburan itu dan konsensus masing-masing sebanyak RM65 juta dan RM83 juta.
“Kerugian yang lebih besar daripada jangkaan ini disebabkan terutamanya oleh promosi produk dalam kedai yang tinggi dalam usaha meningkatkan trafik pelanggan ke kedai Starbucks di tengah-tengah gerakan boikot pengguna yang sedang berlaku.
Berjaya Food mencatatkan kerugian bersih RM35.33 juta bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2024, kerugian untuk suku kelima berturut-turut.
Hasil suku tahunan pengendali rangkaian makanan dan minuman (F&B) itu susut satu pertiga kepada RM123.1 juta berbanding RM182.55 juta setahun sebelumnya.
Mengulas lanjut, Tam berkata Berjaya Food berada pada kedudukan yang lebih mantap untuk membina semula ekuiti jenamanya apabila ketegangan geopolitik di Gaza semakin reda.
Namun, pihaknya berwaspada bahawa kadar pemulihan jualan yang mungkin perlahan akibat peningkatan persaingan dalam industri.
“Kami menaikkan anggaran kerugian bersih Berjaya Food bagi tahun kewangan 2025 kepada RM95 juta, dan kami kini menjangkakan kerugian bersih sebanyak RM16 juta bagi tahun kewangan 2026. Anggaran keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2027 juga dikurangkan sebanyak 43 peratus,” katanya.
Maybank IB dalam nota kajian itu membuat saranan ‘jual’ terhadap saham Berjaya Food dengan harga sasaran dikekalkan pada 25 sen.
Bank pelaburan itu berkata, pendapatan Berjaya Food pada suku kedua tahun kewangan 2025 susut sedikit sebanyak satu peratus dari suku tahun ke suku tahun yang berpotensi menandakan boikot pengguna semakin berkurangan dan terdapat sedikit kestabilan dari segi jumlah jualan.
Bagaimanapun, katanya kerugian kumpulan meningkat sebanyak lapan peratus dari suku tahun ke suku tahun kerana kumpulan itu terus bergantung kepada promosi produk untuk mengekalkan kehadiran pelanggan dan terus bertahan dalam persaingan yang bertambah sengit.
Setakat akhir suku kedua tahun kewangan 2025, Berjaya Food mengendalikan sebanyak 396 kedai Starbucks, 51 kedai Kenny Rogers dan 14 kedai Paris Baguette.