BMW rempuh kedai makan, pemandu cedera

BMW rempuh kedai makan, pemandu cedera

Seorang lelaki cedera ringan apabila kereta dipandunya merempuh sebuah kedai makan di Kilometer 68, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Bidor semalam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian pukul 11.30 malam itu, pemandu kereta jenis BMW berusia 37 tahun berkenaan turut melanggar tiang lampu di tepi jalan hingga patah.

Katanya, kemalangan dipercayai berlaku ekoran kereta dipandu mangsa hilang kawalan lalu terbabas sendiri semasa dalam perjalanan dari Bidor ke Tapah.

“Siasatan mendapati, kereta itu terbabas melanggar tiang lampu di tepi jalan sebelum terperosok masuk ke dalam sebuah kedai makan di tepi jalan.

“Bagaimanapun, semasa pegawai penyiasat tiba di tempat kejadian, pemandu kereta itu tiada dan laporan polis hanya dibuat di Balai Polis Bidor pada pukul 12 tengah hari,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, mangsa hanya cedera ringan dan kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Sumber: Kosmo