Blogger Sepanyol dedah kisah tragis, dirompak & isteri dirogol 7 lelaki ketika jelajah motosikal di India

Blogger Sepanyol dedah kisah tragis, dirompak & isteri dirogol 7 lelaki ketika jelajah motosikal di India

 

Disangka bakal mengumpul kenangan manis ketika bercuti di negara orang, ternyata lain pula jadinya apabila pasangan suami isteri yang mengembara menggunakan motosikal ini telah melalui pengalaman ngeri ketika bercuti di India.

Pasangan yang berasal dari Sepanyol dan juga vlogger bernama Vincente dan Fernanda ini mendedahkan mereka telah diserang ketika melawat sebuah daerah di negeri Jharkand, India yang merupakan sebuah destinasi pelancongan terkenal.

Menerusi kenyataan mereka kepada media Sepanyol, The Publica, mereka difahamkan dalam perjalanan ke Nepal melalui Bhagalpur tetapi singgah di Dumka untuk berehat dan mendirikan khemah berhampiran pasar Hansdiha.

Pun begitu, setelah tertidur, tujuh orang lelaki India didakwa telah menceroboh masuk ke dalam khemah dan menyerang pasangan ini.

Dalam satu video yang dikongsikan semula di X, Vincente dan Fernanda telah menceritakan detik-detik kejadian hitam itu berlaku dan apa yang lebih menyayat hati adalah apabila Fernanda mendakwa telah dirogol beramai-ramai oleh tujuh orang lelaki India.

 

“Mereka memukul kami. Mereka meletakkan pisau di leher saya dan memberitahu saya mereka akan membunuh saya. 

Fernanda telah dirogol. Tujuh orang daripada mereka. Tujuh lelaki. Anak haram,” katanya dalam nada sebak.

Menerusi video itu juga, mereka memaklumkan bahawa mereka kini berada di hospital dan pihak polis bersama dengan mereka. Pasangan itu juga telah dibenarkan untuk tidur di hospital.

Pasangan ini yang juga duta jenama KLIM Motorcycles mempunyai lebih daripada 100,000 followers di Instagram dan sering memuat naik video berkenaan pengalaman mengembara ke pelbagai negara menggunakan motosikal.

Seramnya nak bercuti ke India kalau macam ni. Semoga pasangan ini dapat pulih daripada trauma yang dihadapi.