Bintang PSG, Mbappe hampir pasti ke Real Madrid

Bintang PSG, Mbappe hampir pasti ke Real Madrid

 

Bintang bola sepak dunia, Kylian Mbappé dilapor sah akan meninggalkan gergasi Ligue 1, Paris Saint-Germain.

Perkara berkenaan didedahkan oleh wartawan perpindahan pemain terkemuka, Fabrizio Romano melalui satu hantaran di media sosialnya baru-baru ini.

Menurut Fabrizio, Mbappé telah memaklumkan sendiri kepada pemilik PSG, Nasser Al Khelaifi bahawa beliau akan meninggalkan kelab sebagai ejen bebas.

Syarat-syarat perpindahan dilapor masih belum diputuskan, namun Mbappé akan berhijrah pada musim panas ini.

Walaupun destinasi seterusnya masih belum diketahui, namun pemerhati berpendapat hampir pasti Mbappé akan berkelana ke La Liga menyertai Real Madrid.

Malah, niat Los Blancos untuk mendapatkan tandatangan Mbappé bukan lagi rahsia kerana pada 2022, perpindahan pemain itu ke kelab tersebut hampir berlaku.

Namun, Mbappé berubah fikiran pada saat-saat akhir, menyaksikan beliau kekal bersama PSG untuk semusim lagi.

Untuk kali ini, Real Madrid juga dikatakan berada di kerusi hadapan untuk mendapatkan pemain tersebut.

Menurut Fabrizio, Real Madrid juga sangat yakin kali ini perpindahan berkenaan dapat direalisasikan. Malah, tawaran kontrak sudah pun berada di tangan pemain itu.

Bagaimanapun, tawaran baharu yang dibuat Real Madrid kepada Mbappé dilapor jauh lebih rendah berbanding tawaran pada 2022.

Wartawan itu berkata, tawaran itu termasuklah tawaran gaji yang lebih rendah, malah lebih rendah berbanding gaji semasa Mbappé.

Real Madrid dilapor mahukan perpindahan ini berlaku mengikut syarat mereka, selepas apa yang berlaku sebelum ini.

Menurut Sky News, perpindahan Mbappé akan membenarkan PSG melakukan transformasi untuk membina skuad baharu yang berteraskan pemain muda.

Kelab itu juga dikatakan sudah pun mempunyai pelan untuk menggantikan Mbappé dengan beberapa nama berada dalam sasaran.

Sebelum ini, PSG memburu ramai pemain ternama dunia antaranya Neymar, Angel di Maria, Sergio Ramos dan Lionel Messi untuk beraksi bersama kelab tersebut.

Malangnya, PSG masih gagal mendakap trofi yang diidam-idamkan, Liga Juara-juara Eropah (UCL) biarpun mendominasi liga domestik.