Keluarga ini bina jambatan sendiri selepas jiran tak benar guna laluan

Keluarga ini bina jambatan sendiri selepas jiran tak benar guna laluan

 

Keluarga ini bina jambatan sendiri selepas jiran tak benar guna laluan

Sebuah keluarga di Jawa Tengah, Indonesia, baru-baru ini, nekad membina jambatan selepas satu-satunya jalan ke rumah mereka dihalang oleh jiran yang juga pemilik tanah.

Jambatan besi berukuran panjang 22 meter (m) dan lebar 1.5 m itu dibina di belakang rumah mereka untuk melintasi sungai.

Kisah itu mendapat perhatian selepas dikongsikan seorang pengguna Instagram (IG).

Bripka Suyoko dari Balai Polis Jepara berkata, selama lebih 27 tahun, keluarga Sunardi, 70, diberi kebebasan menggunakan jalan di tanah di rumah jirannya dikenali SP.

Bagaimanapun, jalan selebar satu m itu ditutup oleh SP dengan alasan mereka tidak selesa, yang kemudian menutup laluan itu dengan tembok.

“Keluarga Sunardi (kemudian) memutuskan untuk membina jambatan,” kata Suyoko ketika dihubungi.

Sejak akses jalan ditutup, keluarga Sunardi tiada pilihan kecuali keluar masuk ke kawasan rumah mereka dengan menyeberangi sungai dengan menggunakan rakit.

Kedua-dua belah pihak sudah berbincang namun tidak mencapai kata sepakat.

Oleh kerana enggan membiarkan masalah itu berlarutan, keluarga Sunardi merealisasikan pembangunan jambatan di belakang rumah dengan kos 250 juta rupiah (kira-kira RM70,055) menggunakan wang simpanan mereka.

“Jambatan besi itu mula dibina pada 23 Ogos lalu oleh syarikat pembinaan dan dibantu ahli keluarga Sunardi.

“Kenapa tidak pindah saja? Sebab rumah itu menyimpan kenangan sejak kecil dan orang tuanya masih selesa tinggal di situ,” katanya.