“Bila orang kata harga nasi arab harga Zionis, harga Yahudi, balik Israel, saya terkilan, mereka tahu saya dari Palestin” – Chef Ammar

“Bila orang kata harga nasi arab harga Zionis, harga Yahudi, balik Israel, saya terkilan, mereka tahu saya dari Palestin” – Chef Ammar

 

Siapa tak kenal dengan Chef Ammar dan nasi arabnya yang pernah menjadi antara juadah viral ketika bulan Ramadan menjelma?

Tak lama dulu, tular isu berkenaan jualan nasi arabnya di bazar Ramadan baru-baru ini kurang mendapat sambutan dan ramai yang tertanya-tanya mengapa hal ini berlaku.

Pun begitu, semalam tular video temubual Chef Ammar dengan BFM Radio yang telah menarik perhatian di X.

Menerusi video itu, Chef Ammar telah menjelaskan mengenai beberapa perkara menarik tentang perniagaan nasi arabnya dan suka duka lelaki yang berasal dari Palestin ini dalam membina kerjayanya sekarang.

Menurut Chef Ammar, dia kini berniaga di dua tapak bazar Ramadan dan telah mengeluarkan modal sebanyak RM500,000 untuk kos operasi tersebut.

“(Saya ada) 43 staf. Secara purata kami bayar mereka antara RM1,500 hingga RM3,000. Bergantung kepada kemahiran mereka,” katanya.

Dia juga mendedahkan yang dia mendapat keuntungan sekitar RM300,000 hingga RM400,000 bagi jualan di bazar Ramadan sahaja.

Menurutnya lagi, ketika bulan Ramadan, dia juga telah menutup dapur kecilnya di restoran dan memasak di tiga kilang miliknya untuk menjual di bazar.

“Saya ada tiga kilang. Hampir RM60,000 sewa untuk tiga kilang. RM60,000 sebulan,” katanya.

Seperti yang ramai sedia maklum, nasi arab Chef Ammar juga pernah terpalit dengan kritikan bahawa ia dijual dengan harga yang sangat mahal.

Menjawab pertanyaan BFM, Chef Ammar berkata yang dia sangat terkilan dengan kecaman yang dilemparkan terhadapnya berkaitan isu itu.

“Saya berasal dari Nablus, Tebing Barat. Jadi bila orang cakap, ‘Harga you harga Zionis, harga Yahudi, balik Israel!’. Saya jadi terkilan. 

“Dan mereka tahu saya dari Palestin. Tapi isteri selalu cakap pada saya, ‘Bang jangan peduli’. Tapi saya degil juga. Sebab kami bangga dengan usaha dan kerja kami.

“Jadi tahun ini saya nak kunci mulut. Buang kunci dalam laut,” katanya.

Chef Ammar juga menjelaskan bahan-bahan yang digunakan dalam menyediakan nasi arabnya sangat mahal dan ia agak mustahil untuk meletakkan harga yang murah.

Di hujung sesi temubual, Chef Ammar juga mendedahkan saat kejatuhan dirinya sebelum mencapai kejayaan seperti sekarang.

Menurutnya, dia pernah berkerja sebagai chef di sebuah hotel namun memilih untuk berhenti kerana mempunyai isu halal.

Bila saya berhenti kerja di hotel, saya susah lebih kurang dua tahun. Dua tahun tak ada pendapatan. Jadi, KWSP saya sudah habis. Kereta sudah jual. Emas isteri saya sudah jual. Kamera sendiri saya sudah jual.

“Saya tak boleh bagi anak makan. Lepas itu, ada orang hentam kita dari belakang tau?

“You orang asing. Balik kampung. Apa you buat sini? Tapi mungkin Tuhan nak bagi I jadi muflis. Mungkin apa yang saya sudah untung dari kerja hotel ada ‘syubhah’ lah,” katanya.

Tambahnya lagi, dia juga pernah membuat pekerjaan seperti mencuci kereta, mencuci tandas masjid dan sebagainya untuk hidup walaupun sebelum ini dia pernah menjadi chef eksekutif.

Namun hidupnya dikatakan berubah selepas membela seekor kucing dan meminta kucing berkenaan untuk berdoa demi rezeki anak-anaknya.

Menurutnya lagi, tidak ramai yang tahu mengenai kisah kehidupannya sebelum menjadi viral dan berjaya sehingga sekarang.

Sebak tengok Chef Ammar cerita tentang kisah kehidupannya. Semoga terus sukses chef!