“Biasa harga RM2.50 ke RM5” – Netizen terkejut Mat Saleh beli jelly ball viral secucuk RM8

“Biasa harga RM2.50 ke RM5” – Netizen terkejut Mat Saleh beli jelly ball viral secucuk RM8

 

Semakin hari, Malaysia semakin menjadi tumpuan pelancong asing sebagai destinasi percutian mereka. Bukan sahaja disebabkan keindahan alam semula jadi, tetapi ramai juga yang menggemari makanan lazat yang boleh didapati di sini.

Antara makanan popular di kalangan pelancong sewaktu melawat ke Malaysia adalah sate, nasi lemak, roti canai, laksa dan sebagainya.

Malah, mereka juga tidak terlepas untuk mendapatkan makanan-makanan atau snek viral yang disukai oleh rakyat tempatan sendiri.

Baru-baru ini, tular satu hantaran di laman TikTok (@lukedamantclip) apabila seorang pengembara dikenali sebagai Luke Damant sedang bersiar-siar di Kuala Lumpur dipercayai sekitar Pasar Pudu.

Antara makanan yang menarik perhatian Luke untuk dicuba adalah bebola jeli yang tular di kalangan anak-anak kecil. Seperti kebiasaannya, secucuk snek itu akan tersedia dengan tujuh biji jeli yang mempunyai pelbagai warna dan perisa.

Tertarik dengan manisan yang cantik dan berwarna-warni itu, Luke mengambil keputusan untuk mencuba satu cucuk jelly ball.

Luke berkata jeli tersebut amat menyegarkan kerana ia disejukkan terlebih dahulu dengan ais. Dia juga berpendapat snek berkenaan sesuai dimakan pada ketika itu memandangkan cuaca di Malaysia yang agak panas.

Walaupun jeli berperisa strawberi tidak mempunyai rasa yang terlalu kuat seperti buahan asli, tetapi Luke menyukai tekstur jeli yang agak kenyal apabila digigit.

Luke turut berkata harga manisan tersebut adalah RM8 untuk secucuk lidi dengan anggaran lebih RM1 untuk setiap biji bebola.

@lukedamantclip

$2 Jelly Balls in KL, Malaysia 🇲🇾 #malaysia #kualalumpur #travel

♬ original sound – Luke Damant – Luke Damant

Menjengah ke ruangan komen, ada netizen yang berkata cara Luke menikmati bola jeli itu membuatkan dia juga mahu mencubanya.

“Kau buat aku rasa macam nak cuba (jelly ball). Aku orang tempatan,” kata seorang pengguna TikTok.

Namun rata-rata orang ramai mempersoalkan harga bola jeli yang dijual agak mahal daripada kebiasaannya.

“RM8 adalah terlalu mahal. Selalunya harga bola jeli lebih kurang RM2.50 ke RM5,” ujar seorang individu.

Ramai berpendapat bahawa peniaga sepatutnya menjual dengan jujur dengan harga yang sepatutnya walaupun dengan pelancong asing.

“Satu tu RM8! Mana boleh macam tu, kena la jujur walaupun dia (Luke) orang luar,” jelas seorang warganet.

Ada juga individu menjelaskan bahawa harga RM8 itu adalah normal kerana ia dijual di ibu kota yang terdiri dengan sewa tapak perniagaan mahal.

Semakan kami harga jelly ball yang dijual secara online adalah sekitar RM2 hingga RM5 untuk secucuk (5 ke 7 biji bebola).