Bezza rampas takhta ‘king’ dari Myvi, dinobat kereta paling laris di Malaysia tahun 2023

Bezza rampas takhta ‘king’ dari Myvi, dinobat kereta paling laris di Malaysia tahun 2023

 

Perodua baru sahaja mengumumkan bahawa jualan tahunannya untuk sembilan bulan pertama tahun ini telahpun mencapai 233,227 unit, atau naik 18.8% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jadi dengan tiga bulan berbaki untuk 2023, Perodua mensasarkan untuk menhasilkan 30,000 unit kereta sebulan bagi mencapai sasaran jualan 314,000 unit yang telah ditetapkan untuk tahun ini.

Namun sehingga berakhir suku ketiga tahun ini, jualan Perodua bukan dipacu oleh Myvi atau Axia, sebaliknya adalah model yang paling lama dalam barisan modelnya yang dijual buat masa sekarang iaitu Perodua Bezza. Dalam suku ketiga 2023 sahaja, Bezza telah berjaya dijual sebanyak 65,158 unit.

Jadi ia bukan hanya sedan segmen-A paling laris di Malaysia untuk suku ketiga dan jualan kumulatif tahun sehingga September 2023, malah Bezza kini merupakan kereta paling laris di Malaysia buat masa sekarang!

Untuk konteks, jumlah jualan yang dicatatkan oleh Bezza ini adalah 14k unit lebih banyak dai Axia yang kini model kedua terlaris Perodua, dan ia juga 41.3% lebih tinggi dari rekod tempoh sama pada tahun lalu.

Bezza nampaknya bakal mengatasi rekod Myvi sebagai model paling laris di Malaysia tahun lalu dengan jualan sebanyak 74,840 unit. Menurut naib presiden Perodua Datuk Ahmad Suhaimi Hashim, Bezza kini merupakan model utama yang dihasilkan oleh kilang Perodua di Rawang.

Suhaimi turut mendedahkan bahawa kilang Perodua Global Manufacturing plant (PGMSB merupakan kilang kedua Perodua Sg Choh) telah meningkatkan takt time bagi Bezza sebanyak tiga kali untuk tahun ini sahaja, bagi mempercepatkan pengeluaran sedan yang sedang mendapat permintaan tinggi itu.

Perodua Bezza dilancarkan buat pertama kali pada Julai 2016. Ia adalah Axia dalam versi sedan di mana badan atasnya direka sendiri oleh Perodua – tiada versi Daihatsu atau Toyota untuk Bezza, dan ia hanya dijual di Malaysia. Kali terakhir model ini diberikan facelift adalah pada 2020.

Bezza generasi pertama ini mungkin bertahan sehingga awal 2025 walaupun Axia sudahpun muncul dalam versi generasi kedua tahun ini, dihasilkan dengan platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA).