Betul ke betik adalah buah kebangsaan Malaysia? Rupanya ini sebabnya

Betul ke betik adalah buah kebangsaan Malaysia? Rupanya ini sebabnya

 

Sejak dari sekolah lagi kita telah diajar yang bunga kebangsaan Malaysia adalah Bunga Raya dan haiwan kebangsaan pula Harimau Malaya. Tapi korang pernah tak tahu apa buah kebangsaan Malaysia?

Kalau ada orang tanya korang soalan ni, mesti korang terfikir yang buah kebangsaan Malaysia adalah buah durian kan?

Tapi, carian Google menunjukkan bahawa buah kebangsaan negara kita merupakan betik. BIAR BETIK?

Untuk pengetahuan korang, persoalan mengenai buah betik ni dah pun tular beberapa kali tau. Kebanyakan orang yang mengetahui bahawa buah kebangsaan merupakan betik selepas membuat carian Google mesti akan tunjuk rasa tak puas hati dorang.

Kenapa betik buah kebangsaan Malaysia?

Untuk pengetahuan, hasil carian di Google menunjukkan betik merupakan buah kebangsaan Malaysia kerana senarai national fruits di Wikipedia yang menunjukkan buah kebangsaan rasmi dan tak rasmi telah menyenaraikan betik sebagai buah kebangsaan negara kita.

Lebih memeranjatkan, menurut senarai tersebut durian merupakan buah kebangsaan untuk Indonesia dan Singapura namun begitu, carian seorang pengguna X menunjukkan bahawa carian tertinggi di internet mengenai durian adalah di Malaysia dan paling sedikit di Indonesia.

Bukan tu sahaja, Singapura juga turut mengimport sebahagian besar durian dari Malaysia tau! So kenapa durian bukan buah kebangsaan kita?

Terdapat satu sumber mengatakan bahawa Malaysia merupakan pengeksport betik terbesar di dunia, namun begitu pengeksport terbesar betik sebenarnya adalah India yang telah mengeksport sebanyak 5.6 juta tan betik setahun berbanding Malaysia yang hanya 65,967 tan sahaja setahun.

Selain itu juga betik dikatakan berasal dari Amerika Tengah atau Mexico namun kemunculan pertamanya adalah di Republik Dominika dan Panama pada awal kurun ke-16.

Menurut satu sumber, betik telah dipilih sebagai buah kebangsaan kerana ia merupakan simbol kepada iklim dan biodiversiti di Malaysia di mana buah ini melambangkan iklim tropikal sekaligus menjadikan persekitaran negara kita sebagai tempat yang baik untuk menanam pelbagai jenis buah.

Selain itu, betik juga merupakan buah yang sangat popular dalam makanan tradisi Melayu dan boleh dimakan begitu sahaja atau betik muda boleh dimasak menjadi hidangan-hidangan yang sedap.

Malaysia tak ada buah kebangsaan

Menurut The Star pada tahun 2021, Ketua Pengarah Jabatan Pertanian pada ketika itu, Datuk Mohd Nasir mengatakan bahawa Malaysia tak pernah mengisytiharkan mana-mana buah tempatan sebagai buah kebangsaan.

Namun begitu, Mohd Nasir mengatakan jabatannya percaya bahawa negara kita patut mengisytiharkan dan menamakan durian sebagai buah kebangsaan Malaysia dan turut perlu diangkat sama seperti simbol kebangsaan lain seperti Harimau Malaya dan Bunga Raya.

Malah, raja buah ini merupakan buah nombor satu yang dikeluarkan di Malaysia, berdasarkan jumlah pengeluaran (dalam tan) pada tahun 2022 diikuti oleh nenas pada tempat kedua dan pisang di tempat ketiga.

Selain itu, Mohd Nasir menjelaskan jabatan pertanian masih belum membuat apa-apa tindakan untuk membuat durian sebagai buah kebangsaan rasmi. Sekiranya ada, cadangan ini perlulah dibawa ke kabinet untuk kelulusan sebelum dipersembahkan di hadapan Yang di-Pertuan Agong untuk keputusannya.

Kalau korang nak tahu, ketika artikel ini ditulis, senarai Wikipedia mengenai buah kebangsaan negara telah pun diubah (8 Februari 2024) dengan meletakkan durian sebagai buah kebangsaan Malaysia.

Ish rupanya betik bukan buah kebangsaan pun. Buat panik je tau!