Bersatu tolak semua jawatan menteri, Wan Saiful dedah perkara sebenar

Bersatu tolak semua jawatan menteri, Wan Saiful dedah perkara sebenar

 

Parti Bersatu menafikan laporan media yang mendakwa bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mahu parti itu menolak semua jawatan menteri, kata Ketua Penerangannya Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, laporan dikeluarkan sebuah portal berita itu adalah palsu dan berniat jahat, selain mahu memecahkan Bersatu.

“Saya cadangkan kepada semua supaya merujuk sumber berita yang sahih.

“Kandungan laporan ini adalah palsu yang sumbernya entah siapa,” kata beliau di Facebook.

Dalam laporan portal berita berkenaan yang memetik beberapa sumber mendakwa Muhyiddin mahu Bersatu menolak semua jawatan dalam Jemaah Menteri sebagai salah satu strategi dan persediaan parti itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beberapa sumber itu mendakwa, Presiden Bersatu itu mencadangkan perkara berkenaan dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi (MPT) yang berlangsung baru-baru ini.

Laporan itu turut memetik salah satu sumber parti yang mendakwa Muhyiddin mencadangkan demikian kerana mahu menonjolkan naratif bahawa Bersatu bersedia untuk menjadi pembangkang demi menolak kumpulan kleptokrat.

Isnin lalu, Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas menerajui negara selama hanya 17 bulan.

Dalam kenyataan, Istana Negara mengumumkan peletakan jawatan Muhyiddin selepas beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Muhyiddin akhirnya tunduk kepada tekanan selepas 15 Ahli Parlimen Umno menarik balik sokongan kepada beliau dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya pada 7 Julai lalu.

Sumber: FMT