Bersatu mesyuarat bincang nak sokong siapa?

Bersatu mesyuarat bincang nak sokong siapa?

 

Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata Majlis Pimpinan Tertinggi (MPN) parti itu sedang bermesyuarat atas talian berhubung langkah selanjutnya yang perlu diambil, susulan peletakan jawatan presidennya Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri.

“Majlis pimpinan tertinggi Bersatu sedang bermesyuarat atas talian mengenai langkah seterusnya. Ahli-ahli Bersatu diseru bertenang dan memberi kepercayaan kepada MPN.

“Saya jangka timbalan presiden (Ahmad Faizal Azumu) akan membuat pengumuman setelah keputusan dicapai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah hari ini menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin selepas ahli parlimen Pagoh itu sah hilang majoriti di Parlimen.

Bagaimanapun, Agong bertitah supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri ‘caretaker’ atau sementara sehingga perdana menteri baru dilantik.

Mengulas peletakan jawatan Muhyiddin ketika menghadap Agong di Istana Negara tengah hari tadi, Wan Saiful menyifatkan ia merupakan tindakan seorang negarawan yang sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan negara.

“Sejak awal lagi beliau mahukan kestabilan politik untuk membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada usaha memerangi Covid-19.

“Malang buat negara kita kerana ada pihak berkepentingan peribadi yang rakuskan kuasa terus menerus merosakkan kestabilan itu.

“Jasa Tan Sri Muhyiddin sebagai perdana menteri adalah jelas. Program vaksinasi kebangsaan berjalan dengan baik sehingga aktiviti ekonomi sudah boleh dibuka semula secara berperingkat,” katanya sambil menjangkakan bahawa imuniti kelompok akan dicapai tidak lama lagi.

Katanya lagi, pemimpin kerajaan selepas ini boleh menjangka kejayaan akan datang merupakan hasil usaha dan landasan yang disediakan oleh Muhyiddin sepanjang mentadbir negara.

Sumber: Malaysiakini