Bersaiz besar tinggi sebuah rumah, ini kisah gajah bernama Aduka di Gerik

Bersaiz besar tinggi sebuah rumah, ini kisah gajah bernama Aduka di Gerik

 

Seekor gajah yang bernama Mek Seri Wangi atau lebih dikenali dengan nama Aduka amat terkenal di Gerik pada satu ketika dahulu sekitar tahun 1980 an.

Apabila berbicara tentang gajah di Gerik, ia tidak menjadi satu kejutan kerana kita semua sudah ambil maklum tentang gajah sudah sinonim dengan masyarakat awal di dalam negara kita pada satu ketika masa dahulu sebelum di ambang kemerdekaan.

Penduduk asal dan orang lama di Gerik semestinya sudah biasa dan tahu tentang kewujudan kisah seekor gajah yang besar bernama Aduka yang kini sudahpun menjadi lagenda.

Sejak dari zaman kegemilangan Aduka lagi, ia sering dilihat oleh penduduk tempatan apabila ia dibawa ke lapangan terbang oleh pihak tentera. Kehadiran Aduka disana tidak menggusarkan sedikitpun hati penduduk tempatan kerana Aduka dikatakan amat jinak.

Gajah lagenda yang bernama Aduka ini pada asalnya ditemui sewaktu ia sedang berkeliaran di dalam Hutan Belum. Dianggarkan, Aduka ditemui pada tahun 1980 an dan saiznya amat menggerunkan kerana ianya dikatakan amat besar seakan melebihi tinggi sebuah rumah.

Walaupun begitu, Aduka cukup jinak dan mempunyai penjaga yang tidak pernah jemu untuk menjaga dan memberinya makan sejak Aduka mula ditemui.

Dikatakan bahawa penjaga asal Aduka adalah salah seorang anggota sentri yang bertugas di Unit Kawalan Kawasan (UKK). Individu inilah yang bertanggung-jawab dalam mengawal di kawasan Empangan Temenggor selama 24 jam setiap hari kerana empangan tersebut sangat penting buat negeri Perak dan juga negara Malaysia.

Kisah gajah bernama Aduka bersaiz besar tinggi sebuah rumah di Gerik

Apa yang menariknya tentang Aduka ini adalah Aduka akan bertindak ganas mempertahankan kawasannya daripada dicerobohi oleh gajah-gajah liar lain yang datang dari dalam hutan.

Dengan saiz badannya yang besar dan gadingnya yang putih serta tajam, Aduka dikatakan sentiasa berjaya menghalang gajah-gajah liar ini daripada datang dan tidur di tengah jalan secara tidak langsung menghalang orang awam dalam perjalanan menggunakan Lebuhraya Timur Barat.

Menurut portal orangperak.com, Aduka dikatakan sentiasa meluangkan masanya untuk meronda kawasan miliknya di dalam hutan. Aduka akan kembali ke Kem Sentri dalam dua ke tiga minggu sekali untuk diberi makan dengan makanan kegemarannya.

Antara makanan kegemaran Aduka adalah roti, bijiran, nasi putih yang dicampurkan dengan pisang yang masak dan banyak lagi yang disediakan oleh penjaganya itu tadi.

Sepertimana yang kita semua serta pengguna Lebuhraya Timur Barat sudah ambil maklum, apakah tindakan yang sewajarnya dilakukan oleh pemandu kenderaan jika kita dihadang oleh gajah liar semasa dalam perjalanan?

Ya, sudah tentulah kita terpaksa mematikan enjin kereta, memadamkan lampu kenderaan, tidak bunyikan hon dan berdiam diri sahaja lantas berdoa agar gajah liar tersebut segera berlalu pergi.

Kadang-kala, Aduka sendiri pula yang dikatakan menghalang pengguna jalan raya dari meneruskan perjalanan mereka melalui Lebuhraya Timur Barat tersebut. Menurut penduduk setempat, hal berkenaan yang dilakukan oleh Aduka sebenarnya berlaku adalah kerana itulah cara untuk Aduka untuk memberitahu bahawa ada bahaya di hadapan. Berkemungkinan ada kelompok gajah liar lain di hadapan yang sedang melintas dan juga bahaya lain.

Hal ini dibuktikan dengan kejadian dimana Aduka sendiri pernah menghalang sebuah trak Jabatan Bekalan Air (JBA) dari meneruskan perjalanan mereka semasa melalui Lebuhraya Timur Barat tersebut.

Sekumpulan pekerja Jabatan Bekalan Air (JBA) itu dikatakan dalan perjalanan pulang setelah selesai menjalankan tugas pemeriksaan di Empangan Temenggor.

Mereka yang terhalang itu dikatakan hanya mampu untuk mendiamkan diri, mematikan enjin kenderaan dan terus menunggu dengan sabar.

Mereka cuma akur dengan kelakuan, tindakan Aduka dan sabar menunggu untuk Aduka bangun dan berlalu pergi memberikan laluan kepada pengguna jalan raya untuk menyambung semuala perjalanan mereka.

Penantian mereka adalah dari lewat petang sehinggalah ke lewat malam. Mereka menunggu selama hampir lebih lima jam untuk Aduka bangun dan berlalu pergi. Sejurus selepas Aduka masuk semula ke hutan belantara, mereka terus meneruskan perjalanan untuk pulang.

Sedang dalam perjalanan pulang dan tidak jauh dari lokasi mereka ditahan oleh Aduka, alangkah terkejutnya mereka apabila melihat keadaan pokok di kiri dan kanan jalan yang teruk dirempuh sekawan gajah liar.

Kisah gajah bernama Aduka bersaiz besar tinggi sebuah rumah di Gerik

Secara tidak langsung, tindakan Aduka yang menghalang perjalanan mereka itu tadi telah menyelamatkan mereka daripada dirempuh sekawan gajah liar.

Hal ini berkemungkinan juga adalah kebetulan namun teori berkenaan dengan sekatan yang dilakukan oleh Aduka untuk mengelakkan pengguna jalan raya dibuktikan dengan banyak peristiwa lain yang hampir sama dengan kisah pekerja Jabatan Bekalan Air (JBA) ini.

Di penghujung hayat aduka, pernah berlaku satu pergaduhan antara Aduka dengan seekor gajah liar dari hutan yang kudung ekornya. Pergaduhan tersebut berlaku di Kem Temenggor dan kesan daripada pergaduhan antara dua ekor gajah tersebut telah menyebabkan Aduka sakit dan lama kelamaan Aduka mati.

Buat mereka yang pernah berkhidmat disana pada tahun 1980 an, sudah pasti mereka tidak akan lupa memori bersama dengan Aduka. Kini kisah Aduka sudah menjadi lagenda dan makin dilupai ditelan zaman.