Berlakon babak berunsur seksual: Shukri Yahya mohon maaf buat peminat tak senang duduk

Berlakon babak berunsur seksual: Shukri Yahya mohon maaf buat peminat tak senang duduk

 

Pelakon Shukri Yahaya telah mengemukakan permohonan maaf selepas mendapat kecaman hebat dari peminat berkenaan babak berunsurkan seksual dalam lakonannya bersama Alya Iman dalam drama Layang-Layang Perkahwinan.

Tanpa menyalahkan pihak lain, Shukri, 36, mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan tersebut dan berjanji untuk tidak mengulanginya.

Beliau menjelaskan bahawa babak tersebut telah dirakam pada hari pertama penggambaran tanpa mempertimbangkan sensitiviti masyarakat.

“Saya minta maaf sebab apa yang terjadi itu datangnya daripada kesilapan saya sendiri. Babak itu sebenarnya berlangsung pada hari pertama saya mulakan penggambaran dan saya sangat teruja untuk buat babak itu tanpa memikirkan sensitiviti rakyat. Ia takkan berulang kembali,” katanya.

Shukri menegaskan bahawa dia tidak menyangka bahawa babak tersebut akan mendapat reaksi negatif daripada peminatnya.

Baginya, percubaan untuk membawa kelainan dalam watak dan tidak terlalu memikirkan respons peminat telah menjadi satu pengajaran berharga.

“Saya nak cuba nampak lain sebab sebelum ini saya selalu bawa watak lelaki ‘bodoh-bodoh’, jadi saya nak buktikan diri. Tetapi percubaan saya itu tidak diterima orang ramai kerana ia agak sensitif. Sekali lagi saya minta maaf,” jelasnya.

Shukri menerangkan bahawa sikapnya yang tidak suka membaca skrip membuatnya tidak membayangkan sepenuhnya babak sebenar. Beliau mengakui kesilapan tersebut dan menegaskan bahawa perkara sebegini tidak akan berulang lagi.

“Saya terus terang bahawa saya tak suka baca skrip dan sejenis yang bila berada di set penggambaran baru buat interpretasi berdasarkan skrip. Pada awalnya, saya bayangkan babak itu sedikit. Lagi pun itu hari pertama penggambaran dan saya terlampau bersungguh-sungguh untuk jayakan watak,” ujarnya.

Sebelum ini, video rakaman adegan Shukri yang sedang mandi sebelum didatangi oleh Alya yang masuk ke dalam bilik air telah menjadi viral. Adegan tersebut telah mencetus kontroversi dan menyebabkan pelbagai reaksi daripada masyarakat.