Beri alasan masak di stesen minyak kerana lapar & jauh dari nozel minyak, 4 individu didenda RM500 seorang

Beri alasan masak di stesen minyak kerana lapar & jauh dari nozel minyak, 4 individu didenda RM500 seorang

 

“Tak tahu ke bahaya masak di stesen minyak kemudian muat naik di media sosial pula,” soal Majistret Nadratun Naiem Zainan di Mahkamah Bentong pada Selasa.

Beliau berkata sedemikian terhadap empat individu mengaku bersalah atas pertuduhan memasak menggunakan dapur gas di kawasan stesen minyak di Genting Highlands pada 12 Mei lalu.

Empat individu terbabit termasuklah seorang peniaga kedai makan, 24, pegawai khidmat pelanggan, 24, pembantu pergigian, 24, dan ejen hartanah, 23.

Rakaman video aktiviti mereka menjadi tular di media sosial dan mendapat kritikan keras daripada netizen yang marah dengan tindakan mereka yang memasak di kawasan berisiko seperti stesen minyak.

Nadratun turut mempersoalkan bagaimana mereka boleh mendapat idea untuk memasak di tempat yang berbahaya itu.

Salah seorang tertuduh menjelaskan bahawa tindakan itu dilakukan secara spontan dan memberikan alasan lapar selain mereka semua mengakui kesilapan mereka.

Selain itu, tertuduh lainnya mengakui bahawa mereka sebenarnya merancang untuk memasak di tempat lain tetapi sudah penuh, dan mendakwa kawasan memasak ketika itu jauh dari nozel minyak.

Mengikut kertas pertuduhan, pada 12 Mei sekitar jam 1.30 pagi di stesen minyak Petron Taman Cendawan dekat Genting Highlands, dalam mencapai niat bersama telah bertindak memasak menggunakan dapur gas di dalam kawasan stesen minyak terbabit.

Tindakan itu dianggap gopoh dan membahayakan keselamatan orang lain. Susulan itu, mereka disabitkan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda hingga RM500 atau kedua-duanya.

Dalam proses rayuan, semua tertuduh memohon denda yang lebih rendah dengan alasan mereka masih menanggung ibu bapa dan adik-beradik, serta mengakui ini adalah kesalahan pertama mereka.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid, meminta agar hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum.

“Ini kerana kejadian berkenaan telah menarik perhatian awam dan menimbulkan persepsi dan kontroversi negatif kepada masyarakat,” katanya.

Akhirnya, Nadratun menjatuhkan hukuman denda RM500 seorang dan tiga hari penjara jika denda gagal dijelaskan.

Kesemua tertuduh telah menjelaskan denda masing-masing, lapor Sinar Harian.