‘Berhenti sokong Palestin’ – Akhirnya punca pusat membeli belah di JB dikosongkan terdedah

‘Berhenti sokong Palestin’ – Akhirnya punca pusat membeli belah di JB dikosongkan terdedah

 

Pengunjung sebuah pusat beli belah di Johor Bahru berdepan dengan detik cemas apabila diarahkan keluar daripada bangunan itu dengan segera.

Tidak menerima sebarang sebarang maklumat lanjut, pihak pengurusan pusat beli belah berkenaan rupa-rupanya menerima ancaman bom pada petang semalam.

Ancaman itu dipercayai dibuat oleh seorang lelaki dipercayai warga asing di mana pemanggil tersebut sempat meminta untuk berhenti menyokong Palestin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.10 petang yang memaklumkan ancaman itu.

Susulan panggilan, pihak polis membuat pengesanan bom dan semua pengunjung, pekerja serta penghuni hotel diarahkan untuk mengosongkan pusat beli-belah itu.

Polis kemudian mengesahkan kawasan tempat letak kereta di pusat beli belah itu selamat dan bom tidak ditemui sehingga jam 9 malam, semalam, lapor Harian Metro.

“Pihak pengurusan memaklumkan mereka menerima panggilan itu pada jam 5.38 petang. Pemanggil mengaku dari luar negara mendakwa meletakkan bom di beberapa kawasan sekitar pusat beli belah dan hotel berkenaan.

“Pemanggil ada berkata ‘berhenti sokong Palestin’. Ini pertama kali kita dapat laporan berkaitan ancaman berhubung Palestin seperti ini.

“Pada 9.15 malam, kita benarkan pemilik mengambil semula kenderaan mereka dan mengosongkan tempat letak kenderaan,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Difahamkan, kira-kira 9,000 pengunjung dan pekerja berada di lokasi dengan 4,000 kenderaan serta 892 penghuni hotel yang sedang menggunakan 463 bilik.

Menurut Raub Selamat, setakat jam 11 malam, Unit Pemusnah Bom mengesahkan 90 peratus kerja pengesanan terhadap ancaman bom itu sudah selesai dilaksanakan.

Dalam operasi itu, seramai 12 pegawai kanan dan 60 pegawai rendah polis ditugaskan di lokasi kejadian selain dibantu dua Unit K9 polis dan 24 pegawai serta anggota bomba bersama tiga jentera.

Turut ditugaskan untuk menjalankan operasi berkenaan ialah unit pemusnah bom dengan tiga pegawai serta 12 anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

Raub memaklumkan, pihak polis kini masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan lokasi panggilan ancaman bom itu dibuat serta identiti pemanggil terbabit.

Pusat beli-belah Mid Valley Southkey yang terletak di Johor Bahru, Johor yang mempunyai enam tingkat itu turut dihubungkan dengan sebuah hotel 28 tingkat.

Orang ramai dinasihati supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu dan tidak pasti yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.