Bergari ke mahkamah, 13 remaja lelaki didakwa bunuh pelajar Kolej Vokasional

Bergari ke mahkamah, 13 remaja lelaki didakwa bunuh pelajar Kolej Vokasional

 

Seramai 13 remaja lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Lahad Datu, pada Selasa atas pertuduhan membunuh seorang pelajar pada bulan lepas.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kesemua tertuduh yang berusia antara 16 hingga 19 tahun itu dituduh membunuh Mohammad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu pada 21 Mac dan 22 Mac lepas kira-kira 9 malam hingga 7.38 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun namun tidak melebihi 40 tahun dan tidak lebih 12 sebatan.

Hanya ahli keluarga tertuduh dibenarkan berada di bilik bicara semasa prosiding secara tertutup itu berlangsung kerana ianya membabitkan kes juvana.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao sementara dua tertuduh diwakili peguam Amirul Amin Rashid serta Kamarudin Mohmad Chinki manakala 11 tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 Mei ini sebagai sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia serta bedah siasat diserahkan.