“Berdosa gelar Muslim dengan panggilan anjing & babi, wajib bertaubat dan ditakzir” – Ustaz Jafri

“Berdosa gelar Muslim dengan panggilan anjing & babi, wajib bertaubat dan ditakzir” – Ustaz Jafri

 

Umum sedia maklum penduduk Palestin kini sedang berperang dengan Israel dalam mempertahankan negara tercinta.

Bagi menunjukkan sokongan penuh kepada saudara Islam di sana, ramai masyarakat di seluruh dunia telah mula memboikot produk-produk keluaran rejim Zionis dan pihak yang secara langsung mempunyai hubungan diplomatik dengan negara itu.

Bagaimanapun, bukan semua di kalangan orang ramai menyahut gerakan boikot tersebut dan ada juga yang melakukannya mengikut kemampuan masing-masing.

Baru-baru ini, tular satu perkongsian di laman TikTok apabila pendakwah terkenal iaitu Ustaz Jafri Mahmoodi menyuarakan pandangannya tentang isu boikot.

Jelasnya, dia juga tidak bersetuju apabila umat Islam memberikan pelbagai alasan untuk menjamu selera di sebuah kedai makan yang termasuk dalam senarai boikot jenama pro-Israel.

Kita tak setuju dan rasa sangat tak seronok. Sedangkan saudara-saudara seIslam kita di Gaza sedang dibom dan dibunuh secara berterusan tanpa belas kasihan. Tak kan kita tidak boleh guna akal sedikit untuk bersabar dalam keadaan macam ni? Boleh je cari restoran lain untuk makan.

Namun begitu, perkara tersebut tidak menjadi ‘tiket’ untuk seseorang itu berkata kesat dengan individu lain.

Jelas ustaz berkenaan, segelintir individu telah menghina dan memanggil mereka yang tidak memboikot dengan perkataan kesat seperti ‘anjing’ dan ‘babi’.

Ustaz Jafri berkata tindakan tersebut tidak seharusnya terjadi walaupun anda berasa berang lebih-lebih lagi di kalangan masyarakat Muslim.

Walau macam mana tahap kemarahan kita, jangan balas kezaliman dengan kezaliman. Kalau orang buat dekat kita dan kita balas balik, maka kita sama je macam mereka.

Memetik Imam al- Nawawi Rahimah Allah Taala, beliau menjelaskan bahawa perbuatan menggelar seseorang dengan panggilan anjing, babi dan perkataan keji adalah berdosa dan mereka diwajibkan untuk bertaubat.

Perkara yang boleh disimpulkan oleh pendakwah itu adalah kemarahan terhadap pihak yang tidak memboikot tidak melayakkan anda sebagai umat Islam untuk memanggil seseorang dengan perkataan keji.

@jafrimahmoodi_off

Kecewa kita bila melihat sahabat-sahabat kita beratur panjang masuk restoren yang diboikot tapi patutkah kita gelar mereka dengan anj!ng dan b@b!? #fyp #jafrimahmoodiofficial #jafrimahmoodi #ustazjafriabubakarmahmoodi #ustazjafriabubakar #tehtarikmahmudi #kidaf #kompleksislamdarulfaizin

♬ original sound – jafrimahmoodi_official – jafrimahmoodi_official

Menjengah ke ruangan komen, ramai juga netizen bersetuju dengan pandangan diperkatakan oleh ustaz tersebut.

“Betul itu ustaz. Kita tak layak menghukum. Kita meneruskan boikot tetapi jangan menghina saudara Islam. Kongsi nasihat yang baik-baik. Lebih baik diam daripada menghina,” ujar seorang lelaki.

Malah, ada juga berpendapat boikot secara berterusan membawa impak kepada para pekerja yang ingin mencari rezeki demi menyara hidup.

“Nak boikot berterusan tetapi perang tetap tidak berhenti. Rakyat yang bekerja nak tanggung keluarga. Nak cari kerja lain pula susah nak dapat lebih-lebih lagi dah cecah 40 tahun,” jelas seorang warganet.

Sementara itu, ada juga yang beranggapan bahawa setiap individu harus memboikot mengikut kemampuan masing-masing.

“Boikot setakat kita mampu, kalau langsung tidak ambil tahu. Pasti Allah akan bertanya di akhirat kelak tentang apa yang kita lakukan untuk umat Islam (penduduk Palestin) yang lain,” ujar seorang netizen.

Sesetengah individu bukan sahaja memanggil pihak tidak memboikot dengan perkataan kesat malah ada juga yang sampai mengugut.

Terdahulu, lima lelaki termasuk seorang anggota tentera yang ditahan kerana melakukan provokasi dan ugutan jenayah terhadap pelanggan restoran makanan segera di Sungai Isap, Kuantan.

Berdasarkan laporan, kejadian berlaku apabila beberapa lelaki berkempen memboikot makanan segera dengan menaiki pacuan empat roda.

Difahamkan, berlaku provokasi antara suspek dan pengadu hingga mencetuskan pertengkaran.

Bagaimanapun, tiada pergaduhan berlaku tetapi suspek dkatakan mahu memukul pengadu dan untuk memastikan keselamatan terjamin, pengadu membuat laporan polis.