Berbuka puasa lebih awal dari waktunya, sah atau tidak? Ini penjelasan Datuk Dr Zulkifli

Berbuka puasa lebih awal dari waktunya, sah atau tidak? Ini penjelasan Datuk Dr Zulkifli

 

Umat Islam yang berbuka puasa lebih awal kerana azan Maghrib dari kesilapan stesen radio tempatan dianggap terbatal puasanya dan perlu diganti balik selepas Ramadan.

Demikian penjelasan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sebagai mengulas insiden yang mungkin ada terjadi di negara ini.

“Tidak sah dan batal puasa individu yang menyangka telah pun tenggelam matahari tetapi ia belum lagi tenggelam. Wajib diqada semula menurut jumhur ulama,” terang beliau ringkas.

Hantaran berbentuk infografik tersebut disiarkan menerusi laman sosial rasmi tokoh agama itu sebagai merujuk soalan adakah sah puasa jika juruhebahnya terkhilaf memasang azan awal.

Meskipun beliau tidak menyatakan secara spesifik, jawapan itu jelas merujuk laporan tular media tempatan mengenai kes stesen Tawau FM di Sabah tersilap menyiarkan azan Maghrib.

Penyampainya, Mohd. Safwan Junit yang bertanggungjawab mengendalikan siaran Syoknya Hujung Minggu ketika insiden tersebut semalam turut tampil memohon maaf secara terbuka.

Kesilapan teknikal tidak dijangka pada hari pertama Ramadan itu menyaksikan dia memasang azan itu dua kali iaitu pada 6.16 petang sebelum diulang ketika waktu sebenar 6.20 petang.

Tawau FM yang ditubuhkan pada 1964 lalu dapat diikuti para pendengar sekitar Semporna, Lahad Datu, Gugusan Felda Sahabat dan Daerah Tawau sendiri selain negara jiran, Indonesia.

 Mengulas lanjut, Zulkifli yang kini merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola Universiti Sains Islam Malaysia menambah, dalil kepada isu itu merujuk pelbagai sumber fiqh yang muktabar.

Bahkan isu ini pernah dibangkitkan beliau sendiri ketika berkhidmat sebagai Mufti Wilayah Persekutuan dengan kenyataannya itu disiarkan menerusi laman rasmi pejabatnya pada 2017.

Melalui slot Bayan Linnas Siri Ke-97, dinyatakan bahawa ulama dari kalangan mazhab Hanafi, Maliki dan Syafie serta majoriti besar dari Hambali menyatakan batal puasa dan wajib qada.

“Pihak stesen penyiaran perlu lebih teliti supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku,” nasihat beliau yang disiarkan laman itu seminggu sebelum Hari Raya Puasa pada tahun berkenaan.

Zulkifli menegaskan bahawa dalam era serba moden, adalah mustahil tiada jam, jadual takwim atau aplikasi telefon pintar yang menyatakan waktu azan sebagai rujukan sebelum berbuka.

Justeru ujar beliau lagi, sewajarnya umat Islam dapat lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru berbuka lebih awal sebelum disahkan dengan penuh yakin walaupun bezanya beberapa minit.