“Berbalik pada hukum, cerai hidup atau mati tidak dibenarkan” – Isu edah, Da’i Annas nasihat Adira rujuk jabatan agama

“Berbalik pada hukum, cerai hidup atau mati tidak dibenarkan” – Isu edah, Da’i Annas nasihat Adira rujuk jabatan agama

 

Pendakwah bebas, Da’i Annas memberi pandangan susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh penyanyi Adira Suhaimi mengenai isu idah, baru-baru ini.

Menurut laporan mStar, Annas berkata terdapat beberapa kelonggaran akan diberikan kepada wanita jika terpaksa menguruskan keluarga tanpa bantuan waris.

Golongan tersebut turut diberi kebenaran untuk keluar pada kadar tertentu mengikut keperluan keluarga namun, jika berbalik kepada hukum Islam, ia tidak dibenarkan.

“Kalau keluar (rumah) ketika dalam tempoh idah, ada beberapa kelonggaran diberikan misalnya seorang wanita itu terpaksa menguruskan keluarga tanpa bantuan waris.

“Mereka diberikan kebenaran untuk keluar pada kadar-kadar tertentu. Kalau kena keluar bekerja mencari rezeki, kena tengok kadar keperluan untuk keluarga.

“Jika berbalik pada hukum, tidak dibenarkan. Idah ini tidak kira cerai hidup atau mati perlu ikut peraturan yang telah digariskan Islam,” katanya.

Bagaimanapun, Annas enggan untuk mengulas lebih terperinci mengenai isu tersebut memandangkan tidak ketahui situasi sebenar yang dialami oleh Adira.

Bahkan, dia menitipkan nasihat buat penyanyi yang berusia 33 tahun itu merujuk kepada pihak jabatan agama untuk mendapatkan kepastian.

“Masalah ini boleh rujuk pada fatwa Mufti Wilayah Persekutuan yang pernah keluarkan artikel berkenaan isu wanita dibenarkan keluar bekerja jika bercerai atau kematian suami dalam keadaan tidak diberikan apa-apa untuk meneruskan kehidupan.

“Saya tidak faham konteks penuh artis itu keluar untuk tujuan apa. Jadi secara keseluruhan saya rasa lebih baik rujuk kepada jabatan agama,” jelasnya.

Terdahulu, Adira tampil mempertahankan diri apabila segelintir netizen mempersoalkan tindakannya yang masih keluar dan berdandan sedangkan baru sahaja berpisah dengan usahawan, Datuk Red.

Jelas Adira, dia terpaksa keluar bekerja dalam tempoh idah kerana mahu mencari rezeki bagi menanggung diri serta empat anaknya yang masih perlu diberi perhatian.