Berang motosikal ditarik, anak belasah ibu

Berang motosikal ditarik, anak belasah ibu

 

Seorang lelaki yang baru keluar penjara dikatakan membelasah ibunya menggunakan kerusi plastik semata-mata berang motosikalnya ditarik pihak kedai, dalam kejadian di rumah panjang, di Sibu, semalam.

Dalam kejadian pada jam 10 pagi itu, si ibu mengalami bengkak di kepala dan luka di tangan kiri akibat perbuatan anaknya itu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Collin Babat, berkata suspek yang di luar kawalan bertindak memukul ibunya menggunakan kerusi plastik.

“Akibat tindakan suspek, ibunya mengalami bengkak di kepala dan luka di tangan kiri,” katanya, mengikut laporan Utusan Borneo.

Katanya, punca suspek bertindak sedemikian adalah kerana tidak berpuas hati dengan ibunya apabila motosikalnya ditarik oleh pihak kedai kerana perjanjian sewa beli tidak dipatuhi.

Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau ditangkap polis susulan menerima panggilan daripada ibu suspek pada jam 11.40 pagi.

Suspek kini direman empat hari sehingga 29 Ogos untuk membantu siasatan lanjut.

Sebuah kerusi plastik turut dirampas sebagai barang bukti kes.

Difahamkan, suspek baharu sahaja keluar dari Penjara Sibu setelah menjalani hukuman penjara lima bulan atas kesalahan mengikut Seksyen 324/326a Kanun Keseksaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa,” katanya.

Sumber: FMT