Berang minta putus, teman lelaki tikam & tetak kekasih

Berang minta putus, teman lelaki tikam & tetak kekasih

 

Tindakan seorang wanita enggan meneruskan hubungan cinta dengan teman lelakinya menyebabkan dia parah ditikam dan ditetak lelaki terbabit di Pangsapuri sekitar Masai.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata kejadian berlaku pada jam 12 tengah hari itu diketahui pengawal keselamatan pangsapuri terbabit yang mendengar jeritan mangsa.

Katanya, bertindak atas makluman, polis berjaya menahan suspek yang juga pemandu p-hailing di lokasi sama, kira-kira jam 1 tengah hari sama.

“Pengawal keselamatan (pengadu) memaklumkan terdengar pergaduhan di unit kediaman itu ketika membuat pemeriksaan di rumah mangsa dan mendapati suspek memegang pisau dengan mangsa berlumuran darah, lapor Berita Harian.

“Suspek berusia 30 tahun, bertindak mencederakan mangsa dengan menetak di beberapa bahagian badan dan menikam mangsa.

“Mangsa luka di bahagian muka, lengan dan pergelangan tangan, selain cedera ditikam di bahagian rusuk. Mangsa dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek bertindak sedemikian kerana marah terhadap mangsa yang enggan meneruskan hubungan percintaan mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, polis turut merampas pisau sepanjang 19 sentimeter yang digunakan dalam kejadian itu.

“Pemeriksaan awal ke atas suspek mendapati lelaki berkenaan mempunyai satu rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Suspek direman enam hari bermula hari ini hingga 6 September selepas permohonan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Khalida Farhana Abu Bakar, di Mahkamah Majistret, hari ini,” katanya.