Berang didakwa ada hubungan sulit, suami belasah isteri hingga maut

Berang didakwa ada hubungan sulit, suami belasah isteri hingga maut

 

Gara-gara memuat naik satu hantaran yang mendakwa suaminya mempunyai hubungan sulit, seorang wanita dibelasah suspek sehingga mati, sehari sebelum sambutan Aidilfitri, di kediaman mereka di Batu 9, Cheras.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, dalam kejadian yang berlaku di sebuah pangsapuri kira-kira jam 9.16 pagi itu, pihaknya menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Kajang yang memaklumkan seorang wanita berusia 28 tahun dibawa suaminya ke hospital berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia.

Menurut beliau, pemeriksaan luaran mendapati terdapat kesan lebam di beberapa anggota badan mangsa dan pegawai perubatan yang juga pengadu mendapati kematian wanita tersebut mencurigakan.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan kira-kira dua jam kemudian mendapati punca kematian disebabkan kecederaan abdomen yang disebabkan senjata tumpul.

“Kita percaya mangsa dipukul dengan menggunakan kaki, tangan dan senjata tumpul sehingga menyebabkan kematian,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Justeru, Mohd Zaid memberitahu, polis menahan suami mangsa yang berusia 38 tahun pada hari yang sama untuk membantu siasatan.

“Berdasarkan siasatan awal, kita mendapati suspek berang dengan tindakan mangsa yang memuat naik satu hantaran di media sosial yang mengatakan lelaki itu mempunyai hubungan sulit,” tambahnya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Jika disabit dengan kesalahan suspek boleh dihukum gantung sampai mati.

Mohd Zaid menambah, mekanik itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, di sini pada Isnin depan.